PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menerima 2,860 permohonan pertukaran penempatan anggota dan pegawai dengan 1,332 daripadanya telah diluluskan.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Zakaria Shaaban berkata, penempatan pegawai dibuat berdasarkan keperluan perkhidmatan melibatkan waran perjawatan, kekosongan serta kesesuaian gred.
“Kebajikan warga kerja Jabatan Imigresen sentiasa menjadi keutamaan termasuk aspek penempatan dan pertukaran pegawai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Zakaria menzahirkan simpati terhadap anggotanya di Sabah, Azman Mazni yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 25 April lalu ketika pulang dari bertugas.
Kisah Azman menarik perhatian ramai apabila dia sanggup menempuh perjalanan lebih 700 kilometer (km) hampir setiap minggu untuk bertemu keluarganya, sebelum maut dalam kemalangan Sabtu lalu.
“Sesungguhnya kehilangan ini amat dirasai. Allahyarham Azman bukan sahaja seorang suami, ayah dan anak yang dikasihi, malah sebahagian daripada keluarga besar Jabatan Imigresen.
“Seluruh warga JIM menzahirkan rasa simpati dan mendoakan agar roh beliau dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.
Menurut Zakaria, permohonan pertukaran Allahyarham yang dikemukakan pada 10 Ogos 2025 berada dalam senarai pertimbangan berdasarkan keutamaan semasa.
“JIM akan terus menambah baik urusan penempatan dan memberi sokongan sewajarnya kepada keluarga Allahyarham,” katanya.
Perkongsian menyayat hati kisah Allahyarham Azman dimuat naik rakannya, S Faizzul Syar di Facebook, memaklumkan menerima berita nahas tersebut pada pukul 9.45 malam Sabtu lalu.
Faizzul berkata, Allahyarham yang bertugas di Depot Imigresen Papar baru sahaja menghantar mesej dalam kumpulan WhatsApp pada pukul 8 malam hari kejadian.
Katanya, Allahyarham merupakan suami, bapa dan anak yang sangat bertanggungjawab terhadap keluarga walaupun terpaksa berulang-alik sejauh 700 km dari Sabah ke Sarawak.
Menurutnya, Allahyarham berulang-alik menunggang motosikal dari pejabatnya di Papar ke Miri atau Sibu, Sarawak untuk bertemu ibu, isteri dan anak-anaknya.
“Pengorbanan seorang suami, ayah dan anak, hampir setiap minggu bawa motosikal dari Depot Imigresen Papar ke rumah di Miri atau Sibu.
“Di Miri, ada ibu yang perlu dijaga, (manakaka) di Sibu ada isteri dan anak. Perjalanan melebihi 700 km merentasi Brunei,” katanya.-UTUSAN










