Ombudsman Malaysia diselia Agong - Utusan Malaysia

Ombudsman Malaysia diselia Agong

MOHAMED HANIFF KHATRI ABDULLA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ombudsman Malaysia mesti diletakkan di bawah Yang di-Pertuan Agong melalui Jawatankuasa Pemilih Dewan Rakyat yang akan memantau dan menyelia setiap tindakan penjawat awam melibatkan isu integriti dan urus tadbir yang baik.

Langkah itu perlu dilakukan sejurus selepas kerajaan membentangkan dan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman Malaysia sebagai usaha memastikan tindakan ke atas pengaduan berkaitan kementerian dan agensi kerajaan lebih efektif.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam kanan Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, pelbagai ‘alegasi salah laku’ bukan sahaja melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki malah kartel pihak berkuasa telah menjejaskan imej terhadap penguatkuasaan undang-undang.

Justeru, keadaan itu menuntut kepada penubuhan Ombudsman Malaysia dengan segera yang dilihat sebagai jalan terbaik bagi memastikan sebarang salah laku tidak berlaku pada masa akan datang.

“Ombudsman mesti bebas dari sudut pelaksanaan dan tindakannya lebih agresif, mesti diberi kuasa sama seperti pihak polis untuk menyiasat, memanggil saki bagi membantu siasatan, dan jika saksi tidak hadir, maka badan kehakiman mengeluarkan sapina untuk tindakan lanjut.

“Untuk menyegerakan penubuhannya, ia mesti teliti dan sampai ke tahap mengiktiraf di bawah Perlembagaan. Sementara masih ada perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang, inilah masa terbaik untuk melakukannya.

“Badan ini tidak bercanggah dengan bidang kuasa badan-badan lain, contohnya polis dan SPRM masih menjalankan siasatan mereka, tetapi Ombudsmanlah yang akan meneliti jika terdapat unsur berat sebelah dan mengenakan tindakan tatatertib,” katanya ketika dihubungi semalam.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Lembah Pantai dari PKR, Fahmi Fadzil mendesak kerajaan membentangkan RUU Ombudsman Malaysia pada mesyuarat pertama Parlimen yang akan bermula 28 Februari ini.

Ia seperti yang pernah disuarakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjangkakan rang undang-undang berkenaan akan dibentangkan tahun ini selain drafnya kini pada fasa akhir.

Semasa pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 2018, kerajaan menukar status Biro Pengaduan Awam (BPA) kepada Ombudsman Malaysia sebagai usaha memastikan tindakan ke atas pengaduan berkaitan kementerian dan agensi kerajaan ditangani dengan lebih efektif.

Bagaimanapun, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican pula musykil dengan bidang kuasa badan tersebut kerana badan-badan seperti Suruhanjaya Sekuriti (SC), Jabatan Peguam Negara, SPRM dan polis juga mempunyai kuasa menyiasat dan mendakwa.

“Adakah ia terhad kepada badan-badan yang ada kuasa sebegini atau lebih luas? Selalunya, kerajaan tidak suka ada ‘orang’ yang kawal selia. Adakah pelaksanaan kuasa oleh ombudsman ini disifatkan sebagai mempunyai kuasa melaksana, penasihat atau pemantau sahaja?” soalnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya