KUALA LUMPUR: Himpunan Tangkap Azam Baki yang berlangsung di ibu negara dengan kehadiran ratusan peserta disifatkan sebagai petanda jelas bahawa bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak lagi mendapat sokongan meluas rakyat.
Aktivis politik, Faizan Mohd Nor berkata, walaupun perhimpunan itu yang dikaitkan dengan bekas Naib Presiden PKR itu didakwa melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, jumlah kehadiran yang rendah menunjukkan ia gagal menarik sokongan seperti himpunan Reformasi dan Bersih sebelum ini.
“Maknanya, rakyat telah menolak Rafizi kerana beliau dilihat gagal dalam pelbagai aspek, termasuk tidak menunaikan janji manifesto dan kurang berkesan ketika memegang jawatan Menteri Ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, kira-kira 500 individu berkumpul di pusat bandar bagi menyertai perhimpunan berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang dikaitkan dengan Rafizi.
Faizan bersama pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong serta puluhan peserta turut mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Rafizi bagi mendesak beliau bersara daripada politik.
Faizan berkata, kegagalan Rafizi menarik kehadiran besar seperti sebelum ini menunjukkan tokoh berkenaan tidak lagi relevan dalam kalangan masyarakat. – UTUSAN









