Isu caj air mentah: Pulau Pinang sedia lawan Kedah di mahkamah  - Utusan Malaysia

Isu caj air mentah: Pulau Pinang sedia lawan Kedah di mahkamah 

CHOW Kon Yeow (tiga dari kanan) menyampaikan pengiktirafan dan anugerah warisan Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI) di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersedia berdepan Kerajaan Negeri Kedah di mahkamah berhubung tuntutan caj air mentah terhadap negeri itu. 

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kedua-dua negeri mempunyai hak masing-masing dan Pulau Pinang juga mempunyai hujah tersendiri serta berpegang kepada undang-undang berkaitan isu berkenaan. 

“Kita jumpa di mahkamah, kita tunggu kerana sekadar cakap di luar sahaja  tidak ada manfaat. Kalau benar-benar mahu isu ini diselesaikan biar sampai ke mahkamah kerana kita memang ada hujah kita. 

“Isu ini setiap pihak ada hak, kita berlandaskan undang-undang negeri dan antarabangsa tentang hak terhadap sumber air,” katanya selepas menghadiri majlis pengiktirafan dan anugerah warisan Georgetown World Heritage Incorporated (GTWHI) di sini hari ini. 

Kerajaan negeri Kedah dilaporkan melantik peguam bagi mendapatkan konsultasi menguruskan tuntutan caj air mentah terhadap Pulau Pinang. 

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, tindakan itu menunjukkan kerajaan negeri serius dalam isu tuntutan terbabit. 

Kerajaan negeri Kedah sebelum ini meminta bayaran RM50 juta daripada Pulau Pinang untuk penggunaan air mentah namun Pulau Pinang enggan melayan sebarang tuntutan daripada Kedah. 

Menurut Kon Yeow, tindakan membawa tuntutan caj air mentah itu  adalah satu perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini namun beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri Kedah. 

“Kedah telah melantik panel peguam untuk meneliti perkara itu bagi melihat sama ada ia satu kes untuk dibawa ke mahkamah atau tidak. Kami sedang menunggu untuk tindakan lanjut,” tambahnya. 

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, mengikut konvensyen antarabangsa, sesiapa sahaja mempunyai hak riparian untuk penggunaan air mentah. 

“Contohnya sungai di Eropah yang mengalir ke beberapa negara, berdasarkan konvensyen antarabangsa, semua negara dibenarkan untuk mengambil serta menggunakan air dari sungai tersebut. 

“Begitu juga Pulau Pinang mempunyai hak untuk mengambil air dari Sungai Muda yang berasal dari Kedah dan mempunyai hak untuk menggunakan air mentah itu selagi tidak menjejaskan hak generasi akan datang untuk menggunakannya,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya