Syarat dikenakan PN terlalu ketat, tidak munasabah - Rahman Dahlan - Utusan Malaysia

Syarat dikenakan PN terlalu ketat, tidak munasabah – Rahman Dahlan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan membidas dakwaan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berhubung kegagalan UMNO, Bersatu dan Pas mencapai persetujuan dalam agihan kerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Beliau yang terlibat dengan rundingan tersebut menjelaskan, syarat-syarat yang dikenakan oleh Bersatu dan Pas selaku gabungan Perikatan Nasional (PN) sebenarnya yang menyebabkan kegagalan rundingan tersebut.

Katanya, walaupun PN telah membuat keputusan untuk meletakkan calon di 28 kerusi DUN Melaka pada 22 Oktober, UMNO masih terbuka untuk mengadakan rundingan dengan Bersatu dan Pas pada 27 Oktober lalu.

“Dalam rundingan tersebut, mereka telah meletakkan syarat-syarat yang tidak munasabah dan sukar untuk diterima oleh UMNO. Antara syaratnya ialah UMNO tidak boleh dibenarkan untuk bertanding dalam sejumlah kerusi yang membolehkan UMNO membentuk kerajaan secara bersendirian.

“Alasan beliau, UMNO mungkin tidak akan memberikan jawatan-jawatan exco ahli majlis dan ketua kampung kepada Bersatu dan Pas.

“Walaupun kita telah menjelaskan dalam mesyuarat rundingan, semua itu kuota-kuota exco boleh dimasukkan dalam perjanjian bertulis, yang boleh dibuat antara parti-parti ingin bertanding dalam PRN Melaka,” katanya dalam sebuah video yang dimuat naik di akaun Facebook Barisan Nasional.

Syarat kedua, katanya, Bersatu mahu menentukan siapa calon Ketua Menteri daripada UMNO.

“Syarat ini tidak boleh diterima oleh UMNO. Pertamanya, Ketua Menteri ini datangnya daripada UMNO dan biarlah UMNO yang menentukan siapa calon UMNO sebagai Ketua Menteri dalam PRN Melaka,” katanya.

Katanya lagi, UMNO tidak mahu mengagih kerusi dengan membahagikan kerusi Melayu dengan PN atas faktor-faktor pilihan raya, kerana beliau menyifatkan tindakan itu hanya akan menidakkan potensi terbaik untuk memenangi kerusi yang ditandingi dalam PRN Melaka.

“UMNO parti besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), walaupun UMNO ditekan dengan berbagai cabaran, fitnah dan tuduhan, PRU-14 menyaksikan UMNO memenangi 13 kerusi. Bersatu menang dua kerusi, Pas yang bertanding banyak kerusi langsung tidak menang satu kerusi, malah calon-calon Pas ramai yang hilang wang deposit kerana prestasi buruk di kerusi ditandingi.

“Jadi bagaimana untuk kita bahagi kerusi sama rata dengan cara begitu, sepatutnya rundingan kerusi ini dibuat mengikut kekuatan parti masing-masing di kerusi-kerusi tertentu, ini pandangan UMNO. Sekarang ini Bersatu bertanding 15 kerusi, Pas hanya diberi lapan kerusi, ini bermakna Bersatu bertanding dua kali ganda lebih banyak berbanding Pas.

“Jadi tidak ada juga pengagihan kerusi sama rata, kenapa pula syarat dikenakan mesti bertanding hampir sama rata, walaupun semua orang mengakui UMNO mempunyai kekuatan jentera, kekuatan keahlian, cawangan yang jauh lebih besar daripada parti-parti lain,” katanya.

Justeru, katanya, jika mahu meletakkan syarat, perlulah ada asas yang kukuh, bukan hanya mengambil angka kemudian dibahagi dua dan membuat agihan sedemikian rupa.

“Itu agihan yang tidak munasabah dan tidak adil pada UMNO, seolah-olah syarat-syarat dikenakan itu ingin meletakkan UMNO seperti dihukum untuk menerima satu syarat yang tidak munasabah.

“Persetujuan tidak dicapai kerana rundingan kali kedua, wakil Bersatu dan Pas telah meninggalkan bilik mesyuarat sebelum mesyuarat habis, mereka keluar, walk out, meninggalkan UMNO bersendirian dalam bilik, jadi tidak ada persetujuan yang dicapai seperti mana yang didakwa Menteri Besar.

“Sebab itu, kita berpandangan walaupun UMNO datang ke kerusi dan meja rundingan, apa pun persetujuan mesti berdasarkan agihan yang adil dan strategik, mesti berdasarkan kekuatan parti masing-masing, bukannya dengan hanya cara memberikan syarat-syarat ketat,” katanya.

Oleh itu, beliau menyifatkan kenyataan Ahmad Samsuri jauh daripada fakta sebenar.

“Hakikatnya, perundingan tidak dapat diteruskan kerana dua perkara, syarat dikenakan kepada UMNO terlalu ketat sehinggakan tidak boleh menerima syarat-syarat yang tidak masuk akal dan tidak munasabah.

“Kedua, wakil Bersatu dan Pas telah meninggalkan bilik mesyuarat lebih awal tanpa ada persetujuan walaupun mesyuarat masih berlangsung dipengerusikan Perdana Menteri.

“Tidak ada penghormatan diberikan kepada Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat dan wakil-wakil ini bingkas bangun terus keluar dari bilik walaupun mesyuarat belum selesai,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Ahmad Samsuri yang mendakwa sikap abang long seorang ketua parti telah ‘menggagalkan’ perbincangan pasukan perunding untuk membentuk kerjasama tiga parti dalam PRN Melaka.

Ahmad Samsuri yang terlibat dalam rundingan itu berkata, individu berkenaan akhirnya berkeras mahukan saingan tiga penjuru walaupun persetujuan untuk bekerjasama sudah dicapai antara UMNO, Pas dan Bersatu. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya