PETALING JAYA: Bintang muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar berjanji akan bangkit lebih gagah dalam aksi seterusnya selepas tumbang dalam aksi ONE Samurai dii Ariake Arena di Tokyo, Jepun, kelmarin.
Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo tewas kepada petarung Jepun, Shimon Yoshinari menerusi keputusan sebulat suara mengakui kecewa dengan keputusan itu, namun kekal positif dan percaya mampu bangkit selepas ini.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua penyokong, yang betul-betul ‘real supporter’. Alhamdulillah, hari ini tak ada yang teruk sangat. Mungkin ada lebam sikit atau koyak sikit, tapi itulah kehidupan seorang petarung.
“Macam mana nak buat? Tak ‘fighter’ kalau tak sakit,” kata atlet berusia 19 tahun di laman sosial bagi menzahirkan penghargaan kepada penyokong yang terus berdiri teguh di belakangnya.
Walaupun gagal meneruskan momentum kemenangan, Jojo bertekad untuk kembali dengan prestasi lebih baik dalam pertarungan akan datang.
“Insya-Allah, perlawanan seterusnya akan lebih bagus. Saya minta maaf atas kekurangan hari ini, tapi inilah perjalanan seorang atlet,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ONE Championship, Chatri Siyodtong tetap memuji persembahan Jojo selain melabelkan pertarungan dengan Yoshinari sebagai aksi luar biasa.
Chatri percaya jika kedua-duanya terutama Jojo mampu mengekalkan kualiti dalam gelanggang, tidak mustahil dia akan menjadi jaguh bertaraf dunia selepas ini.
“Pertarungan yang paling saya suka setakat ini ialah Jojo menentang Shimon Yoshinari , memang luar biasa. Tiga ‘knockdown’ benar-benar satu pertempuran sengit.
“Kedua-duanya menunjukkan semangat juang pada tahap tertinggi di dunia. Mereka ini mempunyai masa depan yang sangat cerah,” katanya di Instagram ONE Championship.
Untuk rekod, ini kekalahan keempat Jojo di pentas ONE Championship dalam 12 pertarungan dengan kali terakhir beliau tewas ialah Jun 2025 di tangan jaguh Colombia-Amerika Syarikat, Diego Paez.-UTUSAN










