Leapmotor B10 Design: Rasa continental

Leapmotor B10 Design: Rasa continental dalam SUV EV mampu milik?

HARGA rasmi bermula dari RM108,000 untuk varian Life dan RM119,000 untuk varian Design.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASARAN kenderaan elektrik (EV) di Malaysia kini semakin meriah dengan kehadiran pelbagai model baharu. Namun, dalam lambakan pilihan yang ada, tidak semua berjaya menawarkan keseimbangan antara prestasi, ruang dalaman, teknologi dan harga.

Di sinilah Leapmotor B10 cuba mencipta identitinya sendiri.

Baru-baru ini, penulis bersama rakan media lain berpeluang menyertai sesi pandu uji media Leapmotor B10 Design dari Lembah Klang menuju ke Pulau Pinang dalam perjalanan sejauh lebih 350 kilometer (km).

Ia bukan sekadar sesi pandu uji biasa, sebaliknya peluang untuk menilai sendiri sama ada kenderaan utiliti sukan (SUV) elektrik terbaharu ini benar-benar mampu memenuhi keperluan pengguna Malaysia.

Selepas menghabiskan dua hari satu malam bersama B10, satu perkara menjadi jelas, model ini tidak cuba menjadi EV yang paling ekstrem atau paling futuristik.

Sebaliknya, ia tampil sebagai sebuah SUV elektrik yang matang, praktikal dan selesa untuk digunakan setiap hari.

 

Rekaan minimalis yang tidak ‘try hard’

Dari sudut penampilan, Leapmotor B10 memilih pendekatan yang lebih bersih dan matang berbanding sesetengah EV yang terlalu menonjolkan elemen futuristik.

 Lampu hadapan Wing Star LED yang nipis dipadankan dengan gril hadapan yang ringkas, manakala garisan badan yang kemas memberikan imej moden tanpa nampak terlalu sarat.

Apa yang menarik, walaupun ia dikategorikan sebagai SUV segmen-C, B10 sebenarnya tidak terasa terlalu besar apabila dipandu dalam kawasan bandar.

Dengan ukuran panjang 4,515 milimeter (mm), lebar 1,885 mm, tinggi 1,655 mm serta jarak roda 2,735 mm, saiznya cukup ideal untuk kegunaan harian sama ada di bandar mahupun perjalanan jauh.

Bentuk badan aerodinamik dengan pekali seretan udara (Cd) serendah 0.265 Cd turut membantu meningkatkan kecekapan tenaga serta mengurangkan bunyi angin ketika memandu pada kelajuan lebuh raya.

Bahagian belakang pula menampilkan lampu LED penuh merentasi lebar badan yang memberikan identiti moden tanpa perlu menggunakan rekaan yang terlalu kompleks.

 

Kabin yang nampak ringkas, tetapi penuh perincian

Masuk ke dalam kabin, perkara pertama yang menarik perhatian ialah susun atur yang sangat minimalis.

Tidak banyak butang fizikal digunakan dan kebanyakan fungsi dikendalikan menerusi paparan infotainmen terapung bersaiz 14.6 inci beresolusi 2.5K HD yang dikuasakan sistem operasi Qualcomm Snapdragon.

Sepanjang perjalanan, sistem ini berfungsi dengan lancar tanpa sebarang lag yang ketara ketika menukar menu, mengakses tetapan kenderaan atau menggunakan navigasi.

Di hadapan pemandu pula terdapat paparan instrumen digital LCD bersaiz 8.8 inci yang memaparkan maklumat pemanduan secara jelas dan mudah dibaca.

Apa yang penulis suka ialah bagaimana Leapmotor berjaya menghasilkan ruang dalaman yang moden tetapi tidak memeningkan. Segala fungsi utama mudah dicapai dan kedudukan kawalan terasa intuitif.

 

Keselesaan yang melebihi jangkaan

Berdasarkan ukuran yang dikongsikan ketika sesi penerangan produk, ruang kepala belakang mencecah 1,050 mm, manakala ruang kaki belakang sekitar 951 mm.

Dengan ketinggian penulis sekitar 183 cm, ruang tempat duduk belakang masih menawarkan kelegaan kepala dan lutut yang sangat memuaskan.

Tambahan pula, bumbung panoramik seluas 1.8 meter persegi membantu menjadikan suasana kabin lebih lapang dan terang.

Leapmotor turut mendakwa B10 menawarkan kadar penggunaan ruang dalaman sehingga 87.4 peratus dengan ruang penumpang sepanjang 2,390 mm, menjadikannya antara yang terbaik dalam kelas.

Malah, tempat duduk hadapan dan belakang boleh dilipat bagi menghasilkan ruang rata menyerupai katil mini, sesuai untuk aktiviti perkhemahan atau perjalanan jauh.

Tempat duduk antara kelebihan utama B10

Jika ada satu perkara yang benar-benar menonjol pada Leapmotor B10, ia adalah tempat duduknya.

Leapmotor menggunakan material berasaskan bamboo charcoal yang mematuhi piawaian OEKO-TEX Standard 100.

Material ini bukan sahaja lebih mesra pengguna, malah direka untuk membantu menyerap bahan pencemar seperti formaldehid, karbon monoksida dan beberapa bahan berbahaya lain bagi meningkatkan kualiti udara dalam kabin.

Bagi varian Design, tempat duduk menerima balutan Eco Leather bersama fungsi ventilasi dan pemanas untuk kedua-dua tempat duduk hadapan. Kerusi pemandu dan penumpang hadapan turut menerima pelarasan elektrik.

Tahap keselesaannya benar-benar mengingatkan penulis kepada SUV yang berada dalam julat harga lebih tinggi.

 

Kabin senyap seperti kereta lebih mahal

Satu lagi perkara yang paling ketara sepanjang perjalanan ialah tahap NVH (Noise, Vibration and Harshness) yang cukup baik.

Menurut Leapmotor, B10 dibangunkan menggunakan lebih 200 subsistem yang dioptimumkan untuk pengurangan bunyi, selain dilengkapi 40 pakej akustik dan 28 blok penebat bunyi pada struktur badan.

Hasilnya, bunyi angin dan bunyi tayar berjaya dikawal dengan baik ketika memandu pada kelajuan lebuh raya. Perbualan antara penumpang juga dapat dilakukan dengan mudah tanpa perlu meninggikan suara.

Inilah antara faktor yang menyumbang kepada rasa ‘continental’.

 

Praktikaliti yang tidak dilupakan

Selain ruang penumpang yang luas, B10 turut menawarkan tahap praktikaliti yang tinggi.

Konsol tengah menggunakan rekaan floating armrest dengan pengecas telefon pintar tanpa wayar terbina dalam, di samping ruang simpanan tambahan di bawahnya.

Leapmotor turut menyediakan sehingga 22 ruang simpanan di seluruh kabin untuk menyimpan pelbagai barangan harian.

Bagi ruang kargo pula, but belakang menawarkan kapasiti 430 liter dan boleh berkembang sehingga 1,700 liter apabila tempat duduk belakang dilipat.

Leapmotor mendakwa ruang tersebut mampu memuatkan sehingga enam bagasi bersaiz 20 inci.

Turut disediakan ialah ruang simpanan hadapan atau frunk berkapasiti 25 liter yang sesuai digunakan untuk menyimpan kabel pengecas atau barangan kecil.

Fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.3 kilowatt (kW) pula membolehkan pengguna menghidupkan peralatan elektrik luaran ketika berkhemah atau berkelah.

 

Dari Lembah Klang ke Pulau Pinang tanpa drama

Perjalanan bermula dari Lembah Klang sebelum konvoi media bergerak menuju ke utara.

Seperti kebanyakan perjalanan EV jarak jauh, hentian pengecasan menjadi sebahagian daripada perancangan perjalanan.

Selepas berhenti di sebuah restoran di Ipoh untuk makan tengah hari dan mengecas bateri, perjalanan diteruskan menuju ke Pulau Pinang.

Ketika meninggalkan lokasi pengecasan tersebut, baki jarak perjalanan yang dipaparkan masih sekitar 279 km.

Apa yang menarik, bacaan penggunaan tenaga sepanjang perjalanan kelihatan agak konsisten dan akhirnya kami tiba di Pulau Pinang tanpa sebarang isu berkaitan kebimbangan jarak perjalanan.

Bagi varian Design, bateri berkapasiti 67.1 kilowatt-jam (kWh) menawarkan jarak pemanduan sehingga 434 km mengikut kitaran Worldwide Harmonised Light Vehicles Test Procedure (WLTP).

Walaupun angka rasmi di atas kertas tidak semestinya boleh dicapai dalam semua situasi, pengalaman sebenar menunjukkan bacaan jarak yang dipaparkan agak realistik dan memberikan keyakinan kepada pemandu.

 

Talaan casis Stellantis benar-benar dapat dirasai

Inilah bahagian yang paling mengejutkan penulis.

Di atas kertas, Leapmotor B10 hanyalah sebuah SUV elektrik keluarga. Namun sebaik sahaja berada di belakang stereng, ia memberikan karakter pemanduan yang sedikit berbeza daripada kebanyakan EV dalam julat harga sama.

Menurut Leapmotor, pembangunan casis B10 melibatkan talaan oleh jurutera Stellantis yang diuji di litar Balocco di Itali dan CATARC Yancheng di China.

Gabungan sistem pacuan roda belakang (RWD), suspensi belakang multi-link dan agihan berat 50:50 menghasilkan tahap kestabilan yang cukup meyakinkan.

Ketika mengambil selekoh panjang di lebuh raya, bahagian belakang terasa lebih stabil dan ‘melekap’ pada jalan.

Stereng pula mempunyai berat yang cukup semula jadi dan tidak terasa terlalu ringan seperti sesetengah EV lain.

Ia bukan sebuah SUV yang mengajak pemandu untuk berlumba, tetapi tahap keyakinan yang diberikan ketika memandu memang mengagumkan.

 

Prestasi mencukupi untuk kegunaan harian

Motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang digunakan menghasilkan kuasa 160 kW atau sekitar 214 kuasa kuda (hp) bersama tork 240 Nm.

Pecutan 0-100 kilometer sejam (km/j) dicapai dalam masa sekitar lapan saat dengan kelajuan maksimum 170 km/j.

Walaupun angka ini mungkin tidak sehebat sesetengah EV berprestasi tinggi, penghantaran kuasanya cukup linear dan mudah dikawal.

Berat kenderaan yang hampir 1.85 tan juga sebenarnya membantu menghasilkan rasa pemanduan yang lebih stabil ketika bergerak pada kelajuan tinggi.

Satu lagi kelebihan utama B10 Design ialah keupayaan pengecasan pantas DC sehingga 168 kW.

Dalam keadaan optimum, bateri boleh dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam tempoh kurang 20 minit.

Dalam penggunaan sebenar, tempoh tersebut cukup untuk dimanfaatkan ketika berhenti makan, minum atau berehat sebelum meneruskan perjalanan.

Ini menjadikan pengalaman pemilikan EV lebih mudah dan praktikal tanpa perlu mengubah rutin perjalanan secara drastik.

 

Keselamatan lima bintang Euro NCAP

Dari sudut keselamatan, Leapmotor B10 menerima penarafan lima bintang Euro NCAP.

Struktur badan menggunakan teknologi Cell-to-Chassis 2.0 yang mengintegrasikan bateri sebagai sebahagian daripada struktur utama kenderaan.

Ia turut dilengkapi tujuh beg udara termasuk far-side airbag yang ditempatkan di antara pemandu dan penumpang hadapan.

Selain itu, sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2 merangkumi 17 fungsi keselamatan seperti Adaptive Cruise Control, Lane Centering Control, Blind Spot Detection, Rear Cross Traffic Alert, Automatic Emergency Braking dan Traffic Jam Assist.

 

Apa beza Leapmotor B10 Life dan Design?

Varian asas menggunakan bateri 56.2 kWh dengan jarak pemanduan WLTP sehingga 361 km.

 Ia hadir dengan tempat duduk fabrik, sistem audio enam pembesar suara dan pelarasan kerusi manual.

Varian yang dipandu penulis ini menggunakan bateri 67.1 kWh dengan jarak pemanduan WLTP sehingga 434 km.

 Selain jarak lebih jauh, ia menerima tempat duduk Eco Leather, ventilasi dan pemanas tempat duduk hadapan, pelarasan elektrik untuk kedua-dua tempat duduk hadapan, sistem audio 12 pembesar suara, ambient lighting 64 warna, sensor hujan dan kaca privasi belakang.

 Harga rasmi bermula dari RM108,000 untuk varian Life dan RM119,000 untuk varian Design.

Apa yang membuatkan Leapmotor B10 menarik bukanlah kerana ia EV paling berkuasa atau paling canggih dalam pasaran.

Sebaliknya, ia berjaya melakukan perkara yang lebih sukar, menghasilkan sebuah SUV elektrik yang terasa matang, selesa dan cukup serba boleh untuk kegunaan harian rakyat Malaysia tanpa perlu membayar harga sebuah model premium.

Selepas menghabiskan dua hari bersama Leapmotor B10 Design, penulis boleh katakan bahawa model ini menawarkan satu pakej yang sukar diabaikan.

Ruang dalaman yang luas, tahap keselesaan yang tinggi, kabin yang senyap, teknologi moden, jarak pemanduan yang meyakinkan serta talaan casis yang matang menjadikannya antara SUV elektrik paling menarik dalam julat harga bawah RM120,000 ketika ini.

Dan jika anda mencari sebuah EV keluarga yang bukan sahaja praktikal tetapi juga menyeronokkan untuk dipandu, Leapmotor B10 mungkin antara model yang patut berada dalam senarai pendek anda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN