Penampilan semula barisan ‘kabinet PN’ dipersoal - Utusan Malaysia

Penampilan semula barisan ‘kabinet PN’ dipersoal

MOHD. SANY HAMZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pembentukan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan sebagai sebuah Kabinet yang ‘gagal’ apabila didakwa masih membariskan kepimpinan lama era Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd. Sany Hamzan yang berasa kecewa apabila pemimpin lama masih lagi memonopoli barisan Kabinet dan berbanding menampilkan ‘muka baharu’.

“Ini bukanlah Kabinet baharu seperti yang diharapkan, sebaliknya ini adalah pertukaran beberapa menteri ke portfolio kementerian yang lain.

“Ini bukan Kabinet Keluarga Malaysia seperti yang dikatakan Perdana Menteri dan amat malang kepada kita semua,” katanya ketika membahaskan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera hari ini mengumumkan barisan Kabinetnya yang akan mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin ini.

Majoriti pemimpin yang ditampilkan beliau dalam Kabinetnya adalah mereka yang pernah memegang portfolio sama ketika di bawah pentadbiran Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

Mohd. Sany yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Amanah menegaskan lagi, jemaah menteri ketika era Muhyiddin Yassin dilihat gagal menangani isu dan masalah yang berlaku dalam negara ketika pandemik Covid-19.

Justeru, beliau merasakan barisan menteri ‘baharu’ ini tidak akan mencapai kejayaan seperti yang diharapkan oleh rakyat Malaysia untuk keluar daripada krisis ekonomi dan wabak Covid-19 yang dilihatnya tidak berkesudahan. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN