Kabinet baru perlu proaktif tangani isu rakyat - Utusan Malaysia

Kabinet baru perlu proaktif tangani isu rakyat

ZUHAIRI AB. KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Barisan Kabinet baharu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam diharap bertindak lebih proaktif menyelesaikan isu-isu membabitkan rakyat yang terkesan ekoran pandemik Covid-19.

Isu yang perlu diberikan keutamaan adalah pengangguran, rakyat hilang pendapatan ekoran Covid-19, kes perceraian dan bunuh diri, kesihatan keluarga dan juga kewangan rakyat.

Penasihat Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, isu-isu berkenaan adalah keutamaan yang perlu diberikan perhatian serius oleh barisan Kabinet baharu kerajaan.

“Isu yang PSAP bangkitkan itu pada ketika ini cukup membimbangkan dan perlu kepada penyelesaian segera daripada pihak kerajaan.

“PSAP berharap barisan Kabinet baharu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik Covid-19 yang berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan barisan Kabinet baharu di bawah pimpinannya yang tidak melibatkan pelantikan Timbalan Perdana Menteri.

Beliau melantik empat menteri kanan iaitu Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kanan Kerja Raya; Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin.

Zuhairi berkata, negara ketika ini sedang berada dalam keadaan yang getir akibat pandemik Covid-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara.

“Tentunya rakyat meletakkan harapan tinggi kepada Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri baru dan barisan Kabinetnya dalam menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh mereka,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, PSAP turut menyambut baik pelantikan Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Kesihatan yang baharu.

“Saya dan PSAP yakin pimpinan Perdana Menteri kesembilan dapat menangani pandemik Covid-19 dengan cara terbaik serta sentiasa mendengar keluhan rakyat dari segenap lapisan masyarakat,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN