Man. City mahu sekat kebangkitan Bournemouth

Man. City mahu sekat kebangkitan Bournemouth

Antoine Semenyo (kanan) memainkan peranan penting kemenangan Bournemouth dalam kempen LIga Perdana Inggeris musim ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Aksi cemerlang Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini akan teruji apabila dijadualkan bertandang ke Stadium Etihad berdepan Manchester City, awal pagi esok.

Bournemouth yang kini di tangga kedua dengan 18 mata, menjadi antara pasukan yang beraksi cemerlang musim ini selepas hanya tewas sekali daripada sembilan perlawanan, menyamai rekod pendahulu liga, Arsenal.

Antara kemenangan paling mengagumkan Bournemouth ialah menewaskan Tottenham, Ogos lalu dan Brighton pada pertengahan September untuk mengukuhkan penguasaan di kelompok teratas liga.

Penyerang Antoine Semenyo menjadi watak utama kebangkitan itu selepas meledak enam gol liga setakat ini, susulan musim cemerlang tahun lalu dengan 11 jaringan bersama Bournemouth.

Walaupun statistik seperti jangkaan jaringan menunjukkan Bournemouth sedikit melebihi prestasi sebenar, pengendali City, Pep Guardiola, tidak gentar dengan situasi itu dan menganggap pasukannya sudah bersedia sepenuhnya.

“Bagi saya, baru sembilan perlawanan tetapi mereka juga menunjukkan konsistensi pada musim-musim sebelum ini. Pasukan, pengendali dan pemain mereka kuat, pasti menjadi lawan yang sukar, tapi kami tahu perkara itu,” kata Guardiola.

City kini enam mata di belakang Arsenal dan dua mata di belakang Bournemouth selepas rekod lima perlawanan tanpa kalah mereka berakhir dengan kekalahan kepada Aston Villa minggu lalu.

Pasukan bimbingan Guardiola akan diperkuat semula oleh penyerang prolifik Erling Haaland yang mengetuai senarai penjaring dengan 11 gol dan disahkan cergas untuk beraksi selepas mengalami kecederaan ringan ketika menentang Villa.

Bournemouth pula mendapat kelebihan apabila tidak terbabit dalam banyak kejohanan selepas tersingkir di pusingan kedua Piala Liga pada Ogos lalu, sekali gus membolehkan mereka menikmati skuad hampir bebas kecederaan.

Pengendali Bournemouth, Andoni Iraola juga mengesahkan penyerang Brazil, Evanilson yang tidak beraksi ketika menang 2-0 ke atas Nottingham Forest minggu lalu, akan kembali cergas untuk perlawanan menentang City.

“Sekarang agak sukar untuk saya buat keputusan kerana ada pemain yang perlu diketepikan daripada skuad. Tapi itu petanda positif.

“Kami berada dalam kedudukan yang baik, boleh hadapi perlawanan dengan pelbagai cara, dan saya perlu fikir sebaiknya mengenai kesebelasan utama serta pilihan di bangku simpanan,” kata Iraola. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN