KLANG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggerakkan 15,620 pegawai dan anggotanya sebagai persediaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) tahun ini.
Kekuatan itu digerakkan selepas 3,683 kawasan titik panas banjir terutama di tiga negeri di Pantai Timur iaitu 760 lokasi di Pahang, Kelantan (618) dan Terengganu (460) dikenal pasti berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohamad berkata, antara tumpuan pasukannya adalah memantau dan membuat persediaan menghadapi bencana itu terutama di kawasan penduduk berkepadatan tinggi.
“Tiga negeri pantai timur majoritinya dianggap kawasan tradisi banjir, namun penduduk membuat persiapan awal setiap tahun. Kita juga akan menumpukan kawasan bandar yang dilanda banjir mengejut termasuk akibat fenomena air pasang besar.
“Arahan turut dikeluarkan kepada semua pegawai kanan supaya turun ke lapangan bagi memantau isu yang boleh diatasi dalam kadar segera,” katanya kepada pemberita selepas meninjau logistik operasi banjir di sini, semalam.
Tambahnya, sebanyak 983 aset bomba seperti 431 bot penyelamat, kenderaan angkut ringan (417), berat (119) dan 16 kenderaan marin akan diguna bagi operasi menyelamat.
“Selain itu, 150 bot saiz kecil disediakan di lokasi berisiko banjir bagi kegunaan penduduk berpindah sementara menunggu bantuan bomba,” ujarnya. – UTUSAN










