KUALA LUMPUR: Seramai 16 daripada 25 ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipercayai menyatakan tidak puas hati dan kebimbangan terhadap kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden.
Perkara itu dinyatakan dalam satu surat yang ditandatangani oleh semua ahli Parlimen terlibat yang tersebar dalam kalangan ahli dan pemimpin Bersatu.
Ia susulan keputusan memecat dan menggantung dua wakil rakyat serta tindakan memanggil Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin ke Lembaga Disiplin parti.
Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah kepada Mingguan Malaysia, semalam.
Dalam Risalah No. 13 bertarikh 31 Oktober 2025, Saifuddin mengesahkan bahawa beliau telah menyerahkan sendiri surat itu kepada Muhyiddin di Parlimen pada 27 Oktober lalu sebagai wakil kepada ahli Parlimen yang menandatanganinya.
“Pada 27/10/25, saya mewakili kawan-kawan, telah bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin di Parlimen kerana saya ditugaskan menyampaikan sepucuk surat kepadanya.
“Beliau membaca dan menjawabnya secara lisan kepada saya. Jawapan beliau saya sampaikan kepada kawan-kawan yang menandatangani surat itu,” katanya.
Saifuddin berkata, selepas pertemuan itu, beliau menasihatkan semua yang menandatangani agar tidak mengambil sebarang tindakan lanjut kerana surat tersebut bukanlah satu bentuk rayuan.
“Seterusnya saya menyatakan kepada kawan-kawan agar jangan buat apa-apa lagi. la bukan surat rayuan,” katanya.
Dalam surat yang dihantar bertarikh 23 Oktober 2025 dan dialamatkan kepada Muhyiddin, mereka menzahirkan keresahan bahawa langkah-langkah berkenaan boleh melemahkan imej parti serta menggugat persiapan Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17.
“Kami berpendirian pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor (Datuk Wan Saiful Wan Jan) dan penggantungan Ahli Parlimen Machang (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal) adalah keputusan tidak bijak dan dilihat sebagai usaha mengganggu momentum sokongan rakyat terhadap pembentangan Gagasan Belanjawan PN oleh Ketua Pembangkang, di mana perhatian seluruh negara telah lari daripada Gagasan Belanjawan PN, sebaik sahaja tindakan pemecatan dan penggantungan itu diumumkan.
“Tindakan tersebut juga dilihat sebagai cubaan untuk menggugat usaha PN untuk mencapai kemenangan dalam PRN Sabah yang akan berlangsung tidak lama lagi,” katanya.
Surat itu turut menyentuh keputusan parti memanggil Hamzah ke Lembaga Disiplin sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.
“Pada masa yang sama, kami juga tidak bersetuju dengan keputusan parti memanggil Datuk Seri Hamzah ke Lembaga Disiplin. Ini adalah tindakan yang langsung tidak masuk akal.
“Kami percaya Tan Sri mempunyai jiwa besar untuk memahami dan menangani kebimbangan serius kami dengan segera membetulkan keadaan ini agar Bersatu tidak menjadi mangsa keegoan mana-mana pemimpin,” katanya.
Ahli-ahli Parlimen terlibat ialah Saifuddin, Mejar Jeneral (B) Datuk Khlir Mohd. Nor (Ketereh), Muhammad Islahuddin Abas (Mersing), Fathul Huzir Adnan (Gerik), Datuk Dr. Ku Abd. Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu), Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin).
Selebihnya ialah Komander (B) Nordin Ahmad Ismail (Lumut), Zakri Hassan (Kangar), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Roslan Hashim (Kulim-Bandar Baharu) dan Kapten (B) Azahari Hasan (Padang Rengas).
Turut serta ialah Kalam Salan (Sabak Bernam) dan Mohd. Nazri Abu Hassan (Merbok). – UTUSAN










