MELAKA: Sekurang-kurangnya tiga kerajaan negeri iaitu Johor, Melaka dan Perak bakal ‘tumbang’ andai berlaku pergolakan secara en-bloc atau aksi lompat-melompat parti dalam kalangan ahli dewan undangan negeri (ADUN).
Dinamika politik sedemikian memaksa beberapa negeri mula mengimplementasikan konsep ADUN dilantik seperti diamalkan di Sabah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, berkemungkinan besar negeri ini bakal mengambil langkah sama dan mengesahkan telah wujud perbincangan tidak rasmi antara UMNO dan Pas.
Beliau berkata, selain dapat mengukuhkan majoriti yang dimiliki, ia juga dilihat akan memberi peluang kepada rakan komponen yang tewas dalam pilihan raya membawa suara kelompok diwakili dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Di Melaka, mungkin akan berlaku demikian. Saya ada sedikit berbincang dengan Datuk Speaker (Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh). Kita akan bincang selanjutnya, Melaka buat gambaran mungkin akan berlaku sedemikian juga.
“Contohnya kita kata rakan, MIC dan MCA tidak menang bertanding pilihan raya. Sedangkan mereka mewakili kaum India dan Cina. Jadi, kena ada suara dalam DUN, kita boleh buat lantikan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.
Untuk rekod, Pahang merupakan negeri Semenanjung kedua selepas Terengganu mengusul dan meluluskan perkara itu pada November 2020, dengan menetapkan seramai lima ADUN dilantik tanpa melalui pilihan raya.
Pada November 2018, sidang DUN Terengganu menyaksikan peristiwa bersejarah apabila buat pertama kalinya wanita diberi penghormatan menggalas tanggungjawab sebagai ADUN tanpa menang bertanding.
Kamarudin menambah, bagaimanapun usul itu belum dibawa kepada perbincangan serius ketua-ketua parti dan di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memandangkan pelbagai perkara masih belum selesai diperhalusi.
“Cuma, berapa bilangan ADUN lantikan itu kena bincang sehalusnya tengok kewangan negeri, keperluan kita. Boleh dua orang, lima orang pun boleh, Pahang lima orang.
“Itu belum dibincangkan secara halus, kita bagi gambaran kasar di Melaka boleh berlaku. Tapi tidak ada keputusan lagi dan kita belum pernah buat perbincangan rasmi bersama Bersatu, Pas dan juga UMNO,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE










