AS-Iran setuju perjanjian damai - Utusan Malaysia

AS-Iran setuju perjanjian damai

SELAT Hormuz dibuka susulan perjanjian damai AS-Iran. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) dan Iran telah bersetuju dengan satu perjanjian damai dan penamatan operasi ketenteraan secara serta-merta dan kekal di semua medan, termasuk Lubnan, menandakan berakhirnya lebih tiga bulan peperangan di Asia Barat.

Pengumuman awal daripada pengantara Pakistan segera disahkan oleh Washington dan Teheran, manakala majlis pemeteraian rasmi dijadualkan berlangsung pada 19 Jun di Switzerland.

“Perjanjian dengan Republik Islam Iran kini telah dimuktamadkan,” tulis Presiden AS, Donald Trump di media sosial pada Ahad sempena ulang tahunnya yang ke-80.

“Dengan ini saya memberi kuasa penuh untuk pembukaan tanpa tol Selat Hormuz dan pada masa yang sama mengarahkan penamatan segera sekatan laut Tentera Laut AS.

“Kapal-kapal dunia, hidupkan enjin anda. Biarkan minyak mengalir,” tambahnya.

Tidak lama kemudian, Timbalan Menteri Luar Iran, Kazem Gharibabadi, berkata dalam kenyataan yang disiarkan televisyen bahawa perjanjian itu menamatkan perang antara kedua-dua negara serta-merta dan mereka akan mengadakan rundingan dalam tempoh dua bulan untuk mencapai perjanjian muktamad.

Hanya beberapa jam sebelum itu, Teheran berikrar untuk membalas serangan Israel terhadap sekutu Iran, Hizbullah, di pinggir Beirut yang mengancam untuk menggagalkan perjanjian tersebut.

Namun kemudian pada hari yang sama, Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif mengumumkan: “Kedua-dua pihak telah mengisytiharkan penamatan segera dan kekal operasi ketenteraan di semua medan, termasuk di Lubnan.”

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin Qatar, Arab Saudi dan Turkiye atas sokongan mereka dalam usaha pengantaraan itu. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN