PADANG SERAI: MIC Pusat menaruh keyakinan pucuk kepemimpinan Barisan Nasional (BN) akan mengekalkan sembilan kerusi Parlimen dan 18 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang menjadi tradisi milik parti itu untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Barisan Nasional sebelum ini.
Malah menurutnya, MIC turut mengharapkan parti diberi tambahan kerusi di Parlimen dan DUN yang berpotensi dimenangi berdasarkan populasi kaum.
“MIC percaya parti itu boleh mencapai kemenangan lebih besar pada PRU-15 berdasarkan sokongan yang diterima pengundi sejak kebelakangan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan Foodbank Parlimen Padang Serai kepada penduduk yang terkesan dengan pandemik Covid-19 di sini hari ini.
MIC Padang Serai telah menyampaikan sumbangan tersebut lebih 1,000 penduduk sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Pada PRU14, MIC bertanding di sembilan kerusi Parlimen iaitu Sungai Siput dan Tapah di Perak; Sungai Buloh, Hulu Selangor, Kapar dan Kota Raja (Selangor), Port Dickson (Negeri Sembilan), Segamat (Johor) dan Cameron Highlands (Pahang).
Sivarraajh yang juga Penyelaras Parlimen Padang Serai menambah, beliau juga percaya BN akan dapat merampas semula kerusi Parlimen Padang Serai sekiranya kekal bertanding pada PRU-15.
Menurutnya, pengundi di Parlimen itu mengakui mereka melakukan kesilapan besar apabila memberi sokongan kepada calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya umum sejak tinggal penggal lalu.
“Pengundi di Parlimen Padang Serai tidak akan mengulangi kesilapan mereka mengundi calon daripada PKR selepas terbukti wakil rakyat mereka gagal menjalankan tugas dalam membela nasib penduduk,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










