JOHOR BAHRU: Ahli politik atau pemimpin yang berhadapan dengan kes mahkamah tidak sewajarnya menukar ‘pemahaman’ mereka berkenaan pendakwaan bersifat politik atau bermotif politik hanya kerana mereka berdepan perkara itu.
Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abd. Samad berkata, sebagai bekas anggota Kabinet yang pernah berada dalam kerajaan, seseorang individu boleh memberi pandangan terhadap perkara di luar bidangnya sebagai tanggungjawab bersama jika ada perkara yang tidak sepatutnya dilakukan.
“Apabila Syed Sadiq (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman) menuduh kerajaan Perikatan Nasional (PN) buat pendakwaan bersifat politik, saya beritahu sahabat saya sebenarnya kita tak boleh bertukar sikap ikut kedudukan kita.
“Bila dalam kerajaan, membisu terhadap pendakwaan politik. (Tetapi) bila sudah di luar dan didakwa pula, diangkat hujahan ia pendakwaan politik pula,” katanya dalam catatan terbaharu di Facebooknya hari ini.
Bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, teguran terhadap kerajaan tetap boleh dilakukan walaupun sedang berada sebahagian daripadanya, namun, ia lebih mudah menegur secara ‘dalaman’ bersandarkan fakta berbanding secara terbuka.
Katanya, ketika menjadi menteri di bawah kepemimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad dahulu, beliau turut membuat satu teguran semasa menyertai mesyuarat jemaah menteri.
“Saya pernah buat (tegur), saya kata. Dalam mesyuarat jemaah menteri semasa Tun Dr. Mahathir duduk sebagai Perdana Menteri. Ketika itu, Allahyarham Tun Ghafar (Baba) telah menggantikan Tun Musa Hitam sebagai Timbalan Perdana Menteri.
“Ia ketika seorang pengerusi bank ditahan dibawah ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri). Bank itu mengalami masalah dalaman ketika itu, saya bertanya kepada PM mengapa seorang pengerusi bank ditahan bawah ISA?
“Jawapan yang saya terima ialah kerana antara pemilik saham bank itu ialah Tabung Angkatan Tentera, kerajaan bimbang nanti askar mengamuk bila mendapat berita bank itu bermasalah,” katanya.
Bagaimanapun, Shahrir berkata, beliau memberi pandangan bahawa individu itu perlu didakwa sekiranya melakukan kesalahan dan tidak menggunakan ISA.
“Kesimpulannya, sebagai ahli jemaah menteri, kita sentiasa berpeluang memberi pandangan kita terhadap perkara yang diluar portfolio kita. Akhirnya, ianya tanggungjawab bersama atau ‘collective responsibility’,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE










