Kenyataan Annuar hina akar umbi, tak hormati MT - Utusan Malaysia

Kenyataan Annuar hina akar umbi, tak hormati MT

TAJUDDIN ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa bahawa kononnya kepemimpinan negeri dan bahagian UMNO bakal mengambil pendirian meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat seolah menghina keputusan akar umbi yang secara kolektif mengusulkan menolak kerjasama dengan parti itu.

Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Annuar perlu menghormati pendirian Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang telah mengambil kira usul dikemukakan 147 bahagian UMNO terhadap penolakan kerjasama dengan Bersatu dalam mesyua­rat bahagian di seluruh negara pada 1 hingga 3 Januari lalu.

Katanya, beliau berasa pelik dan hairan dengan dakwaan Annuar itu sedangkan hampir keseluruhan bahagian UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu, sekali gus ia mewakili suara akar umbi.

“Malah seluruh bahagian UMNO Kelantan kecuali Ketereh secara sebulat suara menolak kerjasama dengan Bersatu. Jadi mana maklumat Annuar Musa dapat?

“Oleh itu, kenyataan beliau itu dilihat menghina akar umbi UMNO, jadi Annuar kena jawab mana dia dapat maklumat ini. Malah saya sendiri selaku Pengarah Pilihan Raya UMNO turun padang ke seluruh negara selama ini dan menyaksikan sendiri mood ahli-ahli yang menolak hubungan dengan Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, Annuar menerusi hantaran Facebooknya membayangkan lebih banyak lagi bahagian parti itu atau kepimpinan peringkat negeri bakal mengambil pendirian untuk meneruskan kerjasama dengan Bersatu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, keputusan membabitkan kerjasama UMNO dan Bersatu telah diputuskan di MT dan beliau meminta

Annuar agar merujuk membabitkan perkara itu kepada badan pembuat dasar tinggi parti.

“Bagi negeri Perak, kita dah putuskan berkenaan perkara ini tetapi awak kena tanya Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad sebab saya tiada kuasa dan autoriti untuk cakap mengenai soal ini,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN