PETALING JAYA: UMNO sudah membuat perbincangan lanjut dengan Pas mengenai isu pembahagian kerusi, namun setakat ini ia belum dimuktamadkan.
Ketua Penerangannya, Shahril Sufian Hamdan berkata, perbincangan tersebut dibuat dalam keadaan yang mesra dan beliau yakin keputusan positif mampu dicapai sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
“Setakat ini semuanya positif, tapi belum muktamad. Semua berjalan lancar dan nampak cerah untuk membuat keputusan yang baik dalam isu pembahagian kerusi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Dalam masa yang sama, Shahril memberitahu, perbincangan tidak dilakukan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
“Kita memang belum pernah berbincang atau berunding mengenai isu pembahagian kerusi ini dengan Bersatu,” jelasnya.
Sebelum ini, UMNO dilaporkan bakal bertanding di semua kerusi tradisinya termasuk kerusi yang diinginkan Bersatu, menguatkan lagi spekulasi perbalahan dua parti itu.
Pas pula berbelah bahagi kerana menyokong Bersatu yang menerajui Perikatan Nasional (PN), namun pada masa sama ingin bersama UMNO memperkasakan Muafakat Nasional (MN).
Dalam pada itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Salawati Mat Basir berkata, isu pembahagian kerusi yang masih belum selesai antara UMNO, Pas dan Bersatu hanya akan merugikan politik Melayu.
Katanya, ini akhirnya akan memberi kredit kepada parti lain untuk memenangi PRU nanti.
“UMNO kelihatan sangat susah nak bertolak ansur dengan Bersatu, malah menolak untuk bekerjasama. Pas pula kelihatan banyak memerhati yang mana situasi menguntungkan mereka.
“Buat formula berkenaan kawasan, pola pengundi dan yang berkaitan dengan pilihan raya. Bila dah tahu kecenderungan seseorang di kawasan tersebut, maka mereka dah boleh melihat parti mana yang boleh diletakkan di kawasan terbabit,” katanya.
Bagi penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Muhammad Shamsinor Abdul Azzis pula, beliau menjangkakan senario politik PRU-15 akan sama iaitu parti dengan majoriti kerusi tetap dalam keadaan ketidakstabilan kuasa.
“Jika masing-masing berkeras nak pertahan kerusi tradisi, maka parti yang ada majoriti kerusi pun terpaksa menyantuni parti yang ada kerusi minoriti.
“Jadi bagi mengelakkan perpecahan, kesepakatan dalam kepemimpinan ketiga-tiga parti adalah penting untuk survival politik parti masing-masing,” kata beliau. – UTUSAN











