PETALING JAYA: Parti Gerakan tidak langsung memikirkan tentang pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) apatah lagi mengenai jumlah kerusi yang boleh dimenangi selepas mengumumkan kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Datuk Dominic Lau Hoe Chai berkata, parti itu membuka langkah untuk bekerjasama dengan kerajaan PN adalah untuk memberi fokus dalam usaha membantu rakyat Malaysia.
“Tidak kisah sekarang ada pihak berkata mengenai bertanding dua penjuru atau tiga penjuru dalam PRU-15 tetapi fokus parti kami adalah untuk membantu rakyat pasca pandemik Covid-19.
“Pilihan kami untuk bersama kerajaan adalah untuk meletakkan rakyat sebagai keutamaan. Menguruskan pandemik Covid-19 dan mengurangkan bebanan rakyat adalah lebih penting daripada kita nak membincangkan tentang PRU-15 yang belum berlaku lagi,” katanya.
Baru-baru ini, seorang pemerhati politik bebas, Arif Anwar Lokmanul Hakim berkata, sekiranya Gerakan terpaksa berlawan secara tiga penjuru, parti itu akan hangus kerana undi sudah berpecah dan lebih memihak kepada parti lain.
Senada dengan Arif, Felo Kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr. Oh Ei Sun berkata, tidak jelas bagaimana Gerakan akan memenangi kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15.
Dominic berkata, pihaknya akan bekerjasama termasuk memberikan idea-idea yang segar serta mencadangkan jalan penyelesaian untuk membantu rakyat.
“Sudah tentu dengan kerjasama ini, Gerakan akan menggembleng tenaga dengan para pemimpin lain untuk menyelesaikan kesempitan yang dihadapi rakyat terutama dalam isu pengangguran.
“Bukan itu sahaja, pandemik Covid-19 memberi impak yang besar kepada kesihatan mental orang ramai maka kami akan mencadangkan agar lebih ramai kaunselor dalam kalangan graduan psikologi dilantik untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN









