Anwar bakal dibayangi Tun M - Utusan Malaysia

Anwar bakal dibayangi Tun M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiada kuasa penuh dalam membuat keputusan jika meletakkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Maha­thir Mohamad sebagai menteri mentor atau menteri kanan.

Ia berikutan cadangan Pengarah Strategi Amanah, Dr. Dzulkefly Ahmad sebagai menang-menang untuk menewaskan pihak lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, langkah itu meletakkan Anwar terus dibayangi Dr. Mahathir sekali gus Pakatan Harapan (PH) akan terikat pada setiap keputusan dirancang.

“Kalau menteri mentor berpe­ranan untuk menasihati, saya tak rasa ia akan mencapai matlamat kerana ia bergantung kepada Dr. Mahathir, dia boleh kacau Anwar jika dia nak. Tetapi adakah Anwar akan membenarkan perkara itu berlaku? Jadi seperti beliau tiada kuasa untuk membuat keputusan meskipun Anwar adalah Perdana Menteri yang dilantik.

“Pada ketika itu, fungsi sebenar menteri mentor perlu dikaji semula peranannya kerana jawatan tersebut tidak pernah berlaku di Malaysia,” katanya ketika dihu­bungi Utusan Malaysia.

Semalam, Dzulkefly dalam ke­nyataan yang sama menegaskan calon Perdana Menteri PH untuk PR-15 adalah Anwar sekali gus Dr. Mahathir tidak lagi dipilih sebagai Perdana Menteri sementara seperti yang dilakukan PH sebelum ini.

Namun, peranan Dr. Mahathir dialu-alukan sekiranya PH menang sekali lagi pada pilihan raya akan datang.

“Ia ibarat Lee Kuan Yew menjadi Menteri Mentor Singapura, bertindak untuk menasihati setiap keputusan yang ingin dibuat. Pada ketika itu Goh Chok Tong merupakan Perdana Menteri, namun beliau tiada kuasa dalam menetapkan keputusan kerana keputusan utama terletak kepada Kuan Yew.

“Kalau itu diterapkan, ia akan mewujudkan konsep de facto dan de jure Prime Minister di mana sepatutnya Anwar yang memainkan peranan sebagai de jure Prime Minister, tetapi Tun Mahathir pula yang berperanan sebagai de jure kerana berpengaruh dalam membuat keputusan,” jelasnya lagi.

Justeru, jelas Azizuddin, cadangan Dzulkefly itu akan lebih menyebabkan kucar-kucir dalam sistem pentadbiran negara me­lainkan perkara itu dirangka lebih awal dengan meneliti secara jelas apa fungsi sebenar menteri mentor supaya ia tidak melangkaui peranan perdana menteri nanti.

“Perkara itu memang tidak pernah wujud di Malaysia, malah tiada dalam Perlembagaan kita, ia perlu disemak sama ada jawatan menteri mentor itu dibenarkan dengan memberi kuasa kepada­nya untuk menasihati pada setiap keputusan yang dilakukan nanti atau pun tidak, itu paling pen­ting,” ujarnya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN