UMNO tidak perlu pilih jalan sukar, ketepikan ideologi politik kepartian -

UMNO tidak perlu pilih jalan sukar, ketepikan ideologi politik kepartian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UMNO perlu mengambil iktibar dari apa yang telah berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-10 (PRU10) pada 1999 yang memaksa parti itu bergantung kepada undi bukan Melayu dan bumiputera Sabah serta untuk mengekalkan kuada.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris berkata, tanpa sokongan undi daripada kumpulan tersebut UMNO sudah tentu tewas kepada Barisan Alternatif.

Katanya, fakta cukup jelas pada pilihanraya tahun 1999 daripada 193 kerusi parlimen yang dipertandingkan Barisan Nasional (BN) telah memenangi 148 kerusi Parlimen.

Daripada jumlah itu kerusi milik UMNO hanya 72 dan bakinya adalah daripada gabungan MCA, MIC dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

“Pilihan raya 1999 telah menunjukkan bahawa BN tidak boleh beranggapan bahawa UMNO akan selalu menang. Sokongan Melayu untuk UMNO tidak terjamin, dan kejayaannya dalam pilihan raya ini adalah disebabkan oleh undi-undi pengundi bukan Melayu serta sokongan yang kuat daripada negeri Sabah dan Sarawak.

“Apakah kita ahli dan pemimpin parti UMNO masih merasakan kita kuat dan akan dipilih rakyat pada pilihanraya akan datang?

“Adakah kita sedar bahawasanya rakyat telah menolak kita pada PRU ke 14 yang lalu yang mana buat pertama kali nya kita telah hilang kuasa yang telah diamanahkan oleh orang orang Melayu?

“Apakah kita lupa bahawa rakan komponen UMNO yang telah membantu menyelamatkan kita pada PRU 1999 juga telah kalah teruk dan lari meninggalkan kita pada PRU 2018 lalu?

“Pertahankan maruah UMNO? Saya petik kenyataan Datuk Seri Najib Razak pada 23 Oktober 2015 “Orang Melayu akan bangsat jika UMNO hilang kuasa”. Apa lagi nak dibanggakan dengan maruah UMNO jika realitinya kita sebenarnya telah hilang kuasa dan ditolak oleh orang Melayu itu sendiri?” Katanya dalam satu kenyataan.

Wan Muhammad Azri berkata, hari ini UMNO bukan seperti dulu boleh mengharapkan undi orang Melayu apatah lagi mengharapkan undi bukan Melayu.

Katanya, UMNO tidak boleh harap undi kaum lain jika undi Melayu itu sendiri telah berpecah dan telah terbukti DAP telah menjadi pilihan kaum bukan Melayu sejak 2008 lagi dan kemuncaknya pada pilihanraya ke 13 tahun 2013.

“Jadi apa pilihan yang UMNO ada hari ini? Mahu Muafakat Nasional bersama PAS dan tolak kerjasama dengan PPBM? Bagaimana mahu MN jika dalam masa yang sama PAS memberikan jawapan yang parti mereka mahu bersama UMNO dan PPBM?

“Pas main dua kolam? Pas kawin dua? Itu semua bukan Pas peduli kerana Pas telah memberikan jawapannya dengan tegas tidak akan akan bekerjasama dengan DAP apatah lagi bersekongkol dengan Anwar Ibrahim kerana sudah serik dan tahu apa ancaman yang dibawa.

“Jadi kita UMNO akan pergi sendiri? Pergi dengan bangga bahawa selama ini UMNO boleh bersendirian? Berapa penjuru ? 3 penjuru? 4 penjuru? Dan kemudian nya apa? Berapa kerusi yang UMNO ada dan kemudian bergabung dengan parti lain tak peduli sama ada ianya adalah DAP?

“Kenapa perlu pilih jalan sukar? Kenapa perlu merisikokan bangsa Melayu itu dengan menolak penyatuan Ummah antara parti parti politik Melayu? Bukankah kita telah lihat apa yang berlaku pada tahun 1999 yang mana orang Melayu ada pilihan lain selain UMNO. Apakah kita lupa PRU lalu kita hilang kuasa?

“Inilah masanya untuk kita mengenepikan ideologi politik kepartian dan bersama dalam memastikan kuasa politik Melayu Bumiputera diterjemahkan dengan mandat rakyat 2/3 majoriti parlimen. Ambil lah kesempatan dan peluang yang mungkin buat kali terakhir yang orang Melayu ada untuk menguatkan kembali landskap politik negara dengan meletakkan Islam Melayu Raja Bumiputera ke tempat yang lebih tinggi.

“Sekarang dalam tempoh darurat adalah masa terbaik untuk kita akar umbi dan pimpinan parti mengukuhkan parti keramat orang Melayu ini. Gunakan peluang yang ada untuk memberikan keyakinan kepada pengundi Melayu agar mereka melihat UMNO parti Rakyat dan perjuangan nya adalah untuk membela kebajikan Rakyat dan memakmurkan ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya