PETALING JAYA: Tempoh lapan bulan Proklamasi Darurat dilihat amat penting kepada semua parti politik dalam merangka strategi berdepan pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) yang besar kemungkinan berjalan pada suku terakhir 2021.
Maka tidak hairanlah andai beberapa parti memulakan langkah menambah bilangan cawangan dan jumlah ahli termasuk Bersatu.
Berdasarkan kenyataan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin awal tahun ini, parti pemerintah itu menyasarkan untuk mempunyai 8,000 cawangan di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Mengulas perkara itu, geostrategis Azmi Hassan berpendapat, langkah politik Bersatu sehingga Ogos ini menjadi kayu pengukur dalam menentukan hala tuju ‘diplomatiknya’ dengan UMNO.
Beliau berkata, jika tersalah percaturan, fasa darurat yang difikirkan boleh menurunkan suhu politik bakal menjadi pemangkin untuk UMNO melakukan langkah lebih besar termasuk mengumumkan kerjasama dengan PKR mahupun Pakatan Harapan (PH).
“Bertambah ahli membawa erti Bersatu sudah ada kekuatan akar umbi yang pada ketika ini amat ketandusan. Oleh kerana akar umbi UMNO dan Bersatu adalah golongan yang sama, ada kemungkinan ahli Bersatu yang baharu ini asalnya daripada UMNO.
“Inilah yang dibimbangi UMNO sebenarnya. Dalam hal ini darurat akan beri kelebihan kepada Bersatu untuk kukuhkan parti mereka.
“Sebab itu saya jangka suhu perseteruan antara Bersatu dan UMNO tidak akan reda kerana sudah pasti UMNO akan curiga, kerana Bersatu guna kesempatan darurat mungkin untuk memancing lebih ramai ahli UMNO berhijrah ke Bersatu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini Hamzah memaklumkan, parti itu mempunyai kira-kira 600,000 ahli dan terus menerima permohonan untuk menubuhkan cawangan baharu.
Beliau berkata, perkembangan itu menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.
Susulan daripada itu, Pemuda UMNO mendesak Bersatu supaya berhenti daripada ‘mencuri’ dan ‘membeli’ ahli sekiranya mahu meneruskan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Dalam pada itu, berhubung hasrat Bersatu menambah 8,000 cawangan sehingga Mac, Azmi berkata, perkara itu sukar direalisasikan oleh kerana imejnya selaku parti pemerintah telah tercalar sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua diumumkan.
Jelas beliau, rata-rata pengundi kini melihat pentadbiran kerajaan hilang kecekapan dan bercelaru dalam menggubal dasar memerangi pandemik Covid-19 berbanding PKP Mac tahun lalu.
“Sukar bukan kerana PKP atau darurat tetapi sejak kebelakangan ini prestasi dan kecekapan kerajaan PN yang dianggap sebagai kawalan Bersatu dipersoal terutama sekali dalam hal pengurusan pandemik.
“Umpamanya keputusan operasi restoran dari pukul 8 malam ke 10 malam, hingga kini tiada jawapan memandangkan ini satu keputusan mudah,” katanya. – UTUSAN










