PETALING JAYA: Gesaan agar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan disifatkan sebagai satu gerakan pihak tertentu untuk menjatuhkan kepimpinan parti.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihak yang dimaksudkan itu menggunakan media menyebarkan berita-berita yang boleh mencalarkan imej Presiden parti.
“Ini merupakan langkah terdesak pihak menggunakan media untuk membuat Ahmad Zahid melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO.
“Adakah suara-suara sumbang ini berkaitan dengan tindakan drastik Proklamasi Darurat yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang seolah-olah mengambil jalan itu mengekalkan kuasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Sebuah portal melaporkan Ahmad Zahid sedang ditekan dari dalam dan luar parti sendiri ketika banyak seruan memintanya meletak jawatan.
Nur Jazlan berkata, hasil mesyuarat perwakilan UMNO menunjukkan majoriti daripada suara akar umbi menolak kerjasama dengan PN.
“Kalau dalam mesyuarat perwakilan mereka tidak mahu bekerjasama dengan PN bagaimana pula yang mendakwa ada berpihak pada PN?
“Mungkin terdapat seorang atau dua orang pemimpin UMNO digunakan sebagai tali barut untuk menjatuhkan dan mengambil kesempatan mengambil kuasa melalui cara pintu belakang,” katanya.
Nur Jazlan berpesan agar pemimpin-pemimpin UMNO terus menjalankan tugas demi rakyat dan sedar setiap pemimpin dipilih oleh rakyat.
“Menteri dan ahli-ahli Parlimen UMNO dipilih dan dibayar gaji oleh rakyat untuk menjaga kepentingan rakyat dan bukan kepentingan peribadi.
“Peranan menteri dan ahli-ahli Parlimen UMNO menjadi timbal balik kepada Muhyiddin yang berkuasa penuh dalam penggantungan Parlimen disebabkan darurat berikutan peningkatan kes Covid-19 dan bukannya untuk tujuan politik,” katanya. – UTUSAN










