Kembalikan pucuk pimpinan Gerakan kepada Melayu - Utusan Malaysia

Kembalikan pucuk pimpinan Gerakan kepada Melayu

Dr. Cheah Soon Hai
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kepemimpinan parti Gerakan perlu dikembalikan kepada pemimpin yang dapat mewakili kaum terbesar di negara ini dalam usaha memastikan kelangsungan parti terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Bekas Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Cheah Soon Hai mengakui, masa depan parti itu gelap andai tiada perubahan dilakukan di peringkat pucuk kepemimpinan parti.

“Masa depan Gerakan tak cerah. Saya berulang kali menyatakan kalau untuk parti berbilang kaum sepatutnya dipimpin daripada pemimpin kaum terbesar negara ini.

“Kita lihat Presiden parti dahulu pun orang Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Soon Hai berkata, Gerakan sukar kembali menawan hati rakyat apatah lagi setelah mengambil keputusan keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 2018 ekoran kegagalan te­ruk parti itu pada PRU-14.

“Untuk kembali kepada BN bukan senang, takut orang tak nak apatah lagi sudah ada Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN), tetapi saya percaya perbincangan ke arah itu sedang berlangsung.

“Apa yang saya harap pucuk pimpinan parti dapat buat keputusan tepat,” katanya yang turut melepaskan semua jawatan dalam parti itu pada 2018.

Kata beliau, biarpun kemungkinan gagal kembali kepada BN, Gerakan sama sekali tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan (PH).

“Masalah dengan PH adalah kita tidak mungkin boleh bergabung dengan DAP, dengan PKR mungkin tak ada masalah,” katanya yang juga bekas Pengerusi Gerakan Kedah.

Gerakan mengumumkan ke­luar pada Jun 2018 untuk menjadi parti bebas yang konstruktif, namun baru-baru ini parti itu menyuarakan hasrat untuk menyer­tai PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN