Tunggu bukti ‘nyata’ diserah kepada Agong - Utusan Malaysia

Tunggu bukti ‘nyata’ diserah kepada Agong

MOHD. SHARKAR SHAMSUDIIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Semua pihak kini hanya perlu menunggu bukti nyata tentang jumlah sokongan ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu diserahkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, dakwaan Anwar itu perlu dibuktikan kepada Seri Paduka dan tidak hanya menerusi cakap-cakap mulut.

“Jadi, kita tunggu bukti nyata diserahkan Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong, cuma, buat masa ini beri masa kepada Al-Sultan Abdullah berehat dan kembali ceria setelah Seri Paduka menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

“Saya yakin berdasarkan kepada peristiwa pertukaran kerajaan Pakatan Harapan ke Perikatan Nasional, Yang di-Pertuan Agong bijak dalam menguruskannya, kita yakin dengan kewibawaan Al-Sultan Abdullah,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil yang mendakwa Anwar memiliki angka yang mencukupi dan jumlah sokongan tersebut diyakini menghampiri dua pertiga majoriti di dalam Parlimen.

Mengulas lanjut, Mohd. Shar­kar berkata, berdasarkan pembuktian itu nanti, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara untuk menentukan Parlimen dibubarkan atau tidak selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri.

“Tentunya pelbagai faktor akan diambil kira oleh Seri Paduka selepas ini jika dakwaan itu benar termasuklah situasi negara yang sedang berdepan kes penularan pandemik Co­vid-19 yang kebelakangan ini semakin meningkat,” katanya.

Dalam pada itu katanya, setiap ahli politik seharusnya mengambil iktibar situasi di Sabah selepas tamatnya Pilihan Raya Negeri (PRN).

“Seharusnya setiap ahli politik meletakkan kepentingan kesihatan rakyat sebagai perkara utama berbanding kepenti­ngan politik terutamanya pasca PRN Sabah dan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN