Artis `dilanggan' orang politik - Utusan Malaysia

Artis `dilanggan’ orang politik

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Segelintir ahli politik serta golongan kelas atasan dipercayai terbabit dalam kegiatan seks melibatkan artis tanah air.

Ahli politik terbabit dikatakan menggunakan khidmat `broker’ atau orang tengah untuk mendapatkan pelanggan dalam kalangan penggiat seni.

Mendedahkan kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil berkata, tindakan menggunakan orang tengah sebagai langkah mengelakkan identiti si pelaku mudah dikesan.

“Tidak dinafikan orang politik turut termasuk sebagai salah satu kategori dalam kegiatan ini. Segelintir mereka yang terlibat dalam isu skandal seks adalah orang kaya dan politik.

“Mereka selalunya bergerak mencari pelanggan melalui broker. Mereka yang berstatus orang kenamaan (VIP) akan jaga identiti diri, kita tidak boleh tolak kemungkinan itu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut beliau, agak sukar untuk menyekat kegiatan artis yang menawarkan khidmat seks kerana ia sentiasa mendapat permintaan golongan VIP sejak dahulu lagi.

Kata Rozaidi, kesempitan ekonomi antara sebab segelintir artis menjual tubuh, malah tidak menolak kemungkinan ada kalangan artis yang hidupnya sekadar kais pagi makan pagi sahaja sehingga terdorong berbuat demikian.

“Kita kena faham, artis ini sebilangan kecil saja yang memang betul-betul mewah, hanya 10 peratus yang benar-benar stabil, selebihnya tidak.

“Lagi 90 peratus artis ini hanya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Tiga bulan ada job, kemudian setahun straight tiada job.

Mengulas lanjut beliau berkata, pandemik Covid-19 memburukkan keadaan, apabila peluang membuat persembahan semakin tertutup.

Hal itu jelasnya, membuatkan ada artis yang tidak mampu bertahan terpaksa menjual tubuh sebagai langkah mendapatkan sumber kewangan.

“Dalam keadaan kesempitan hidup, kalau orang offer sikit sahaja, walaupun benda itu dalam keadaan yang tak baik, orang ambil juga. Hendak buat job susah, nak keluar buat job pun susah. Macamana nak survive? Orang cucuk sikit dengan benda macam ini memang akan kelabu mata lah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN