KUALA LUMPUR: Tiada janji bulan dan matahari, sebaliknya manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti lebih relevan berbanding sebelum ini.
Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Fadzil (gambar) berkata, ia mengambil kira dua faktor utama iaitu Covid-19 dan ekonomi yang semakin menguncup.
“Sekarang mana-mana parti yang ingin menawarkan manifesto kepada pengundi akan melihat keadaan ekonomi yang suram dan Covid-19.
“Dua faktor ini penting kerana sekarang ramai yang hilang pekerjaan, selepas Petronas alami kerugian terbesar dan laksanakan pembayaran kepada Sarawak.
“Itu sudah menjadi norma baharu dalam menawarkan manifesto. Duit datang dari mana dan apa keutamaan yang dibuat pada rakyat. Jadi pada saya kali ini manifesto yang dibentangkan lebih relevan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Katanya, dengan pengalaman mentadbir di empat buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sabah serta ditambah pula memerintah peringkat Persekutuan selama 22 bulan,
PH mampu menawarkan manifesto yang boleh diterima rakyat.
“Ramai pimpinan sudah faham proses yang lebih jelas dalam penggubalan dasar dan pelaksanaan manifesto serta janji yang dibuat. Apa yang boleh, apa yang mampu dan perlu penyelarasan daripada kesemua tawaran itu.
“Ini kerana manifesto adalah perkara penting, ia bukan lagi nawaitu untuk pelaksanaan daripada sebarang insiden, kejadian dan perubahan. Tetapi keupayaan itu harus mengatasi halangan-halangan ini supaya ia boleh dilaksanakan, bukan hanya sekadar janji,” katanya. – UTUSAN










