IPOH: Konsep ‘Malaysian Malaysia’ dibawa DAP tidak bertentangan dengan Perlembagaan.
Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tiada pihak yang dapat membuktikan konsep itu bertentangan dengan Perlembagaan seperti yang didakwa.
“Semuanya selari dengan Perlembagaan. Rakyat yang faham Perlembagaan tidak perlu takut apa-apa kerana segala undang-undang dan retorik politik perlu melepasi tapisan Perlembagaan.
“Yang jadi masalah ialah kejahilan dan manipulasi Perlembagaan untuk kepentingan politik sempit perkauman,” katanya kepada Utusan Malaysia menerusi Whatsapp semalam.
Beliau mengulas temu bual Utusan Malaysia dengan bekas Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr. Tan Seng Giaw bahawa konsep ‘Malaysian Malaysia’ secara jelas ditolak 90 peratus bangsa Melayu dan ia tidak akan berjaya sampai bila-bila.
Abdul Aziz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi sebaliknya mempersoalkan adakah ketuanan Melayu selaras dengan Perlembagaan.
“Saya ingin bertanya apakah ketuanan Melayu itu selaras dengan Perlembagaan, khususnya peruntukan dalam Perkara 8?,” ujarnya.
Menurutnya, konsep ‘Malaysian Malaysia’ adalah satu slogan bahawa Malaysia milik orang Malaysia dan tiada masalah dengan konsep tersebut.
“Konsep ini perlu dilihat dalam konteks dan latar belakangnya, bukan lensa prejudis perkauman sempit Melayu,” katanya. – UTUSAN










