KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) akan melakukan percubaan kali kedua untuk menundukkan Pas di Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 setelah gagal dalam cubaan pertama 9 Mei 2018.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presidennya, Mohamad Sabu berkata, meskipun Kelantan kubu kuat Pas, namun tidak mustahil parti itu kecundang kali ini di tangan Amanah berikutan penerimaan rakyat negeri itu yang diyakini semakin positif pada Amanah.
“Sasaran kita (dalam PRU-15) adalah Kelantan. Kita kena bergabung dengan mana-mana parti, baru boleh menang. Contohnya, Amanah akan berpasangan dengan PKR.
“Di Malaysia ini, walaupun parti kuat tapi berseorangan, parti itu memang tak boleh pergi ke mana. Contohnya, Pas dahulu bertanding 80 kerusi, 90 kerusi pada 1986, tapi yang menang hanya satu iaitu kerusi Pengkalan Chepa. Bila Pas mula bekerjasama dalam Pakatan Rakyat, barulah Pas ada kekuatan, Pas naik jadi Menteri Besar di tiga negeri iaitu Kedah, Perak dan Kelantan.
“Ya, Amanah akui Pas memang kuat di Kelantan, tapi tak mustahil Pas boleh dikalahkan sebab rakyat di sana nakkan perubahan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menaruh keyakinan tinggi tentang perkara itu, Mohamad Sabu turut mengingatkan Pas bahawa peningkatan jumlah keahlian Amanah yang mendadak di Kelantan menjadi faktor utama Amanah semakin diterima rakyat walaupun baru berusia lima tahun penubuhannya.
Dalam masa sama, Mohamad Sabu turut berkata, meskipun dianggap sebagai ‘tali barut’ DAP, ia hanyalah tuduhan yang harus ditelan, namun percaya masyarakat akan menerima parti tersebut dengan baik kelak.
“Perkembangan Amanah yang baik sekarang ini adalah di Kelantan, sebab ada ulama berkata, UMNO dengan Pas ini tak boleh berbaik…seperti pengat tahi dan pengat pisang. Ini kenyataan ulama dia sendiri, tapi sekarang dah bersama UMNO pula,” katanya. – UTUSAN










