SHAH ALAM: Seorang pekerja kebun warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melanggar seorang penunggang motosikal dekat persimpangan lampu isyarat Persiaran Mokhtar Dahari berhampiran Hillpark di Puncak Alam pada Isnin lalu.
Tertuduh, Md. Habibullah, 28, tidak mengaku bersalah dan memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu sebuah kereta Nissan Almera secara melulu sehingga menyebabkan kematian kepada Muhammad Jafni Baharuddin, 29.
Kesalahan dilakukan dekat simpang empat lampu isyarat, Persiaran Mokhtar Dahari kira-kira pukul 8.23 malam pada 21 Julai 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun dan denda RM20,000 hingga RM50,000 bagi kesalahan pertama.
Untuk kesalahan kali kedua dan seterusnya, hukuman penjara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000 boleh dikenakan.
Selain itu, butiran mengenai kesalahan dan sabitan di bawah seksyen tersebut hendaklah disertakan pada mana-mana lesen memandu yang dipegang oleh tertuduh serta hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu sehingga lima tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Alia Anisa Khairus Masnan mengesahkan tertuduh tidak mempunyai sebarang sabitan di bawah Akta Imigresen 1959.
Peguam M. Partiben dan Muhamad Saifullah Muhamad Azmi memohon tertuduh dibenarkan ikat jamin walaupun sebagai seorang warga asing seperti mana di bawah Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).
“Tertuduh merupakan seorang warga Bangladesh yang bekerja sebagai pekebun dengan pendapatan RM1,800 sebulan. Dia juga menanggung ibu bapa yang berada di negara asal.
“Kesalahan yang dipertuduhkan kepadanya juga boleh dijamin dan juga terdapat kes-kes yang diputuskan oleh mahkamah sebelum ini membenarkan tertuduh untuk dijamin. Bagi kes ini, majikan anak guam sendiri hadir untuk menjamin tertuduh,” kata Muhammad Saifullah.
Sementara itu, Partiben memaklumkan, pihaknya tiada masalah bagi tertuduh untuk menyerahkan dokumen perjalanan dan permit kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sebagai syarat tambahan.
“Saya memohon satu jumlah jaminan yang paling rendah dengan mengambil kira semua faktor disebutkan tadi. Ini kerana jaminan hanyalah untuk memastikan tertuduh hadir ke mahkamah,” katanya.
Majistret Ameera Mastura Khamis membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan dan syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis sekali pada setiap bulan.
Mahkamah turut menetapkan 25 September ini untuk sebutan semula dan serahan dokumen.
Sementara itu, Partiben ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, Md. Habibullah dituduh di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan bukan seorang pemandu mabuk sama ada mengambil minuman keras atau dadah.
“Tertuduh dituduh kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan dan kematian. Justeru, dia bukan seorang yang berkelakuan seolah-olah mahu membunuh. Beri ruang kepada mahkamah dan jangan membuat sebarang spekulasi,” ujarnya.
Isnin lalu, Utusan Malaysia melaporkan, seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah kereta yang dipandu warga asing ketika sedang berhenti di lampu merah dekat persimpangan lampu isyarat berhampiran kawasan Pusat Perniagaan Hillpark.
Mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Y15ZR dalam keadaan berhenti sebelum dilanggar oleh pemandu kereta Nissan Almera dari arah belakang.
Lelaki berusia 29 tahun itu yang dalam perjalanan pulang ke rumah di Puncak Alam dari tempat kerja disahkan maut di tempat kejadian. – UTUSAN










