PUTRAJAYA: Prosiding permohonan kebenaran merayu dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Razak berhubung kes saman membabitkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas ditangguhkan susulan bekas Perdana Menteri itu cuti sakit selepas menjalani prosedur jantung.
Keputusan majoriti 2-1 di Mahkamah Persekutuan itu dibuat panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais bersama-sama Datuk Azimah Omar dan Datuk Azmi Ariffin mengambil kira hasrat Najib untuk hadir sendiri ke mahkamah bagi mengikuti prosiding.
Permohonan kebenaran merayu itu dibuat bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan selepas Najib gagal menghidupkan semula saman menuntut RM1.9 juta daripada bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Hakim Azmi yang bersetuju membenarkan permohonan itu bagaimanapun mengingatkan bahawa penangguhan tersebut adalah yang terakhir dibenarkan.
“Selepas mengambil kira pandangan pihak-pihak, walaupun terdapat beberapa kebimbangan, saya membenarkan permohonan penangguhan ini.
“Namun, ini merupakan peringatan bahawa penangguhan ini adalah yang terakhir. Sama ada Datuk Seri Najib dapat hadir atau tidak (selepas ini), kami tetap akan meneruskan pendengaran,” kata hakim itu.
Dalam pada itu, Hakim Azimah membuat keputusan minoriti menegur peguam Najib selepas beliau berpendapat permohonan penangguhan itu tidak sepatutnya dibenarkan.
Katanya, permohonan yang hanya dikemukakan pada saat akhir itu telah membazirkan masa panel hakim yang sudah membuat penelitian fail kes berkenaan sebagai persediaan untuk prosiding.
“Jika benar anda mengetahui bahawa anak guam anda diberikan cuti sakit (MC) pada 24 Julai dan beliau benar-benar serius mahu hadir, permohonan penangguhan itu sepatutnya difailkan pada hari yang sama.
“Sekiranya kami lebih awal dimaklumkan bahawa pemohon benar-benar serius untuk hadir, walau apa juga alasannya, masa hakim dapat dijimatkan daripada meneliti fail kes ini.
“Kami terpaksa meluangkan masa sehingga lewat malam dan ini bukan penggunaan masa hakim yang cekap. Atas alasan itu, saya berpendapat permohonan penangguhan ini wajar ditolak,” katanya.
Terdahulu, peguam, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin mewakili Najib memohon supaya pendengaran itu ditangguhkan sehingga Najib kembali sihat untuk hadir.
Bagaimanapun, peguam, Alan Gomez mewakili Tommy membantah permohonan itu dengan alasan kehadiran Najib tidak diperlukan kerana hanya melibatkan permohonan kebenaran untuk merayu.
Dalam pada itu, Firoz Hussein ketika ditemui pemberita memaklumkan Perdana Menteri keenam itu menerima cuti sakit sehingga 1 Ogos ini.
Katanya, tarikh baharu bagi pendengaran itu juga akan ditetapkan pada masa akan datang melalui pengurusan kes.
Pada 10 Februari lalu, Najib, 73, memfailkan notis usul bagi mencabar keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi menolak saman yang difailkannya.
Ia selepas, bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal menghidupkan semula saman menuntut RM1.9 juta daripada Tommy Thomas yang didakwa telah melakukan misfeasans (gagal melaksanakan tugas dengan betul) dan penyalahgunaan proses dengan niat jahat (malicious process) serta cuai ketika memegang jawatan itu.
Najib memfailkan rayuan berkenaan selepas tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 25 November 2022 yang membatalkan samannya atas alasan ia remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Saman tersebut difailkan pada 22 Oktober 2021 yang antara lain mendakwa Tommy telah bersikap prejudis terhadapnya sebelum beliau didakwa di mahkamah dan telah campur tangan dalam siasatan serta tidak mengkaji kesnya dengan objektif.– UTUSAN










