PUTRAJAYA: Seorang pemuda yang membunuh dan membakar mayat kekasihnya hamil 18 bulan, terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan meminda hukuman berkenaan kepada penjara 40 tahun.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah turut memerintahkan Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 23, disebat 12 kali.
Turut bersidang ialah Datuk Ahmad Kamal Md.Shahid dan Datuk Seri Mohd. Radzi Harun.
Keputusan itu dibuat sebulat suara selepas membenarkan rayuan pemuda itu terhadap hukuman gantung itu.
Ini adalah keputusan sebulat suara (dengan) mengambil kira umur muda perayu sewaktu kejadian (berusia 20 tahun) dan terdapatnya pilihan di dalam akta pemansuhan hukuman mati, mahkamah ini mengetepikan hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi dan menggantikannya dengan hukuman pemenjaraan 40 tahun dari tarikh tangkap dan 12 sebatan,” kata Hakim Azman.
Di bawah pindaan Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang sebelum ini memperuntukkan hukuman mati mandatori, Mahkamah kini mempunyai budi bicara untuk mengenakan sama ada hukuman mati atau pemenjaraan bagi tempoh tidak kurang 30 tahun dan sehingga 40 tahun.
Jika hukuman mati tidak dikenakan, pesalah lelaki berusia di bawah 50 tahun perlu disebat minimum 12 kali.
Terdahulu, peguam Muhammad Nor Tamrin mewakili Muhammad Fakrul selaku perayu menyatakan Hakim Mahkamah Tinggi Klang terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman yang terlalu berat iaitu gantung sampai mati terhadap perayu yang ketika kejadian berumur 20 tahun empat bulan.
“Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman gantung sampai mati setelah perayu membuat pengakuan bersalah sebelum perbicaraan bermula,” kata peguam itu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob dalam hujahan ringkasnya berkata, hukuman dijatuhkan Mahkamah Tinggi Klang adalah sesuai dan adil bagi kekejaman jenayah dilakukan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakrul Aiman didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei dan 8 pagi 23 Mei 2023.
Pada 15 Oktober 2025, Muhammad Fakrul Aiman dihukum gantung sampai mati oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Norliza Othman selepas mengaku bersalah membunuh kekasihnya itu.
Sewaktu prosiding tersebut, Muhammad Fakrul turut mengakui semua fakta kes dan 112 eksibit antaranya imej ultrabunyi kandungan, pisau, sebatang kayu serta pakaian mangsa.
Ujian analisis DNA (Asid Deoksiribonukleik) Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan bahawa janin berusia 18 minggu itu bukan milik Muhammad Fakrul.
Hakim Norliza dalam penghakimannya menegaskan perbuatan tertuduh membunuh mangsa merupakan satu jenayah yang dirancang, kejam dan sadis.
“Lebih sadis lagi, di bahagian perut terdapat usus dan kandungan yang terkeluar… si mati juga mengalami kesan-kesan luka tikam dan hiris di abdomen serta tapak tangan.
“Tertuduh juga dikatakan telah memukul kepala si mati menggunakan kayu sehingga jatuh serta mengheretnya ke tepi parit dan mengambil pisau di kereta lantas menikam perut dan menghiris leher si mati,” kata hakim itu pada prosiding sebelum ini. – UTUSAN










