Waymo tarik balik roboteksi berisiko redah jalan banjir

Waymo tarik balik roboteksi berisiko redah jalan banjir

ROBOTEKSI Waymo dipandu oleh seorang pakar keselamatan di Jalan Centre di New York City.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAN FRANCISCO: Syarikat pemanduan kendiri Waymo mengumumkan pihaknya sedang menarik balik kira-kira 3,800 unit roboteksi di Amerika Syarikat (AS) selepas mengenal pasti risiko kenderaan tersebut berkemungkinan meredah jalan raya yang dinaiki air. 

Lapor Reuters, risiko tersebut melibatkan jalan yang mempunyai had laju tinggi, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai aspek keselamatan.

Unit di bawah syarikat Alphabet itu memaklumkan tindakan tersebut dibuat susulan satu insiden pada 20 April lalu, di mana sebuah kenderaan Waymo memasuki lorong yang dinaiki air di San Antonio semasa cuaca ekstrem berlaku. 

Waymo menyatakan kenderaan tersebut tidak membawa penumpang dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan, namun insiden itu mendorong syarikat untuk menyemak semula senario serupa yang melibatkan kelajuan tinggi dan jalan banjir yang tidak boleh dilalui.

“Kami sedang berusaha untuk melaksanakan perlindungan perisian tambahan dan langkah mitigasi termasuk memperhalusi operasi cuaca ekstrem kami semasa tempoh hujan lebat serta menyekat akses ke kawasan yang berisiko berlakunya banjir kilat,” jelas Waymo dalam satu kenyataan.

Menurut Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA), Waymo sudah mengecilkan skop operasinya buat sementara waktu bagi meningkatkan sekatan berkaitan cuaca dan mengemas kini pemetaan syarikat sementara menunggu penyelesaian kekal.

Dalam perkembangan berasingan, Waymo turut berhadapan dengan siasatan NHTSA selepas salah sebuah kenderaan pemanduan kendirinya melanggar seorang kanak-kanak berhampiran sebuah sekolah rendah di Santa Monica, California pada Januari lalu sehingga menyebabkan kecederaan ringan. 

Selain itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) pada Mac lalu memaklumkan sedang menyiasat insiden pada Januari di mana kenderaan Waymo memintas sebuah bas sekolah yang sedang berhenti dengan lampu amaran menyala, yang merupakan satu pelanggaran undang-undang negeri Texas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN