Saya mahu Merrah fokus pelajaran - Datuk Awie - Utusan Malaysia

Saya mahu Merrah fokus pelajaran – Datuk Awie

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Datuk Awie ingin anak lelakinya, Putra Ahmad Merrah mengutamakan pelajaran kerjaya nyanyian.

Bukan mahu mengatur hidup anaknya, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 58, berkata, dia sebaliknya mahu memastikan anaknya menjadi artis yang berilmu.

“Saya tidak mahu menghentikan kerjaya seni Merrah kerana dia boleh main gitar, drum, menyanyi dan berlakon.

“Itu kehendak dia tetapi perkara pertama yang saya mahukan daripada dia ialah pelajaran, fokus pada pengajian.

“Bila sudah tamat belajar, saya nantikan ijazahnya. Jangan jadi artis yang glamor, ada nama tetapi tidak berilmu,” katanya selepas sidang media Konsert 3 Veto di sin.

Katanya, Merrah juga sudah berjanji untuk mengurangkan aktiviti seni bagi memberi tumpuan kepada pelajaran.

“Pada bulan puasa lalu dia paling sibuk dengan undangan persembahan tetapi dia berjanji akan berhenti sekejap, kurangkan mana yang boleh.

“Saya tak sekat, kalau ada undangan hujung minggu, masih boleh. Dua minggu atau sebulan dua kali okeylah, cuma jangan terlalu padat sampai abai pelajaran.

“Saya nak Merrah berjaya macam kakak-kakak dia. Insya-Allah dia pun sudah berjanji, jadi saya pegang janjinya,” katanya lagi.

Ditanya sama ada mempunyai perancangan untuk melibatkan Merrah dalam kumpulan Wings seperti selaku vokalis, Awie memberitahu tidak pernah terfikir mengenai hal tersebut.

“Belum lagi dan tidak terfikir pun tentang perkara itu.

“Paling utama sekarang ialah kehidupan dia, belajar dan jadi orang yang elok kemudian barulah fikir langkah seterusnya,” jelasnya.

Tambah vokalis kumpulan Wings itu, dia enggan melihat anak-anaknya mengulangi semua yang sudah dilaluinya dulu termasuk menjalani kehidupan susah.

“Jangan ikut langkah saya sebab saya melalui proses yang susah. Saya tak nak anak-anak melalui proses yang sama.

“Sekarang zaman moden dan teknologi, zaman semua orang ada sijil dan pelajaran. Kita kena hidup dalam keadaan sekarang, jadilah bijak dan orang akan nampak kita mahal.

“Namun, saya bukan menidakkan ataupun memperlekehkan kehidupan orang lain. Cuma saya nak anak-anak guna kesempatan yang ada ketika ini sebaik mungkin, pelajaran diutamakan,” ujarnya lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN