KUALA LUMPUR: Insiden jelingan yang membawa kepada pergaduhan dan tular di media sosial awal bulan lalu telah menyebabkan tiga rakan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Tukang kayu, Wong Weng Luen, 49, juruteknik, Lai Kae Bin, 33, dan pekerja pusat memorial, Wan Ken Fei, 30, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang individu bernama, Andrew Teh Tiek Hua, 49, di sebuah restoran di Jalan Kepong, Metro Prima di sini pada pukul 2 pagi, 7 Mei lalu.
Pertuduhan terhadap mereke dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh didenda atau dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ketiga-tiga lelaki berkenaan mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.
Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal tidak mencadangkan sebarang jaminan ke atas semua tertuduh atas alasan perbuatan yang dilakukan merupakan kesalahan serius dan tidak boleh dijamin.
“Sekiranya jaminan diberikan kepada tertuduh, ada kemungkinan mereka akan melarikan diri dan mengganggu mangsa dalam kes ini,” katanya.
Peguam bela, S. Narasimhan yang mewakili ketiga-tiga tertuduh memohon mahkamah memberikan ikat jamin atas alasan anak-anak guamnya telah memberikan kerjasama baik dengan pihak berkuasa dan mahkamah juga mempunyai budi bicara untuk memberikan jaminan.
“Walaupun kes ini telah tular, namun tidak semestinya tertuduh tidak mendapat jaminan. Dalam kes ini, tertuduh telah serah diri dan mereka perlu diberikan peluang untuk diikat jamin,” katanya.
Pada prosiding hari ini, turut hadir ialah peguam pemerhati bagi mangsa, Chia Hui Ming.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh dan kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 15 Jun ini. – UTUSAN










