Pahat, kikir ‘peneman’ si pandai kayu

Pahat, kikir ‘peneman’ si pandai kayu

ABDUL Syukur Mohd. menunjukkan pelbagai bentuk ulu dan sarung keris tradisional Terengganu yang dihasilkannya di bengkel di Kampung Losong Haji Mohd., Kuala Terengganu, Terengganu. - MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Menghasilkan sarung keris bukan sekadar kerja pertukangan sebaliknya memerlukan ketekunan, ketelitian dan kesabaran yang tinggi bagi memastikan setiap ukiran dihasilkan dengan kemas dan mempunyai nilai seni tersendiri.

Bagi tukang sarung keris, Abdul Syukur Mohd., 24, dari Kampung Losong Haji Mohd. di sini, kemahiran yang dipelajarinya sejak lapan tahun lalu membolehkan dia menghasilkan pelbagai jenis sarung keris tradisional Terengganu dan Kelantan, malah tempahan tertentu mampu mencecah harga sehingga RM3,000 sebilah.

Antara kayu yang sering digunakan untuk menghasilkan sarung keris adalah kemuning dan sena gred A, bergantung kepada reka bentuk serta jenis keris ditempah pelanggan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kayu kemuning adalah jenis paling mahal dan bernilai tinggi kerana warna serta uratnya yang sangat cantik terutama kemuning emas. Kayu sena pula lebih tahan lasak dan ekonomi, sering digunakan untuk keris kegunaan harian atau pesilat,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Menurut Abdul Syukur, bagi sarung keris Kelantan, antara jenis yang dihasilkan adalah keris Tokchu manakala keris Terengganu pula antaranya Malela dan keris bugis.

ABDUL Syukur Mohd. tekun menyiapkan ulu dan sarung keris tradisional Terengganu di bengkelnya. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY

“Setiap jenis keris mempunyai bentuk dan reka bentuk sarung tersendiri. Sebab itu kerja membuat sarung keris memerlukan ketelitian supaya bentuknya benar-benar sepadan dengan bilah keris.

“Kalau reka bentuknya lebih rumit dan mempunyai banyak ukiran tempoh untuk menyiapkannya juga lebih lama,” katanya.

Abdul Syukur berkata, lazimnya dia mengambil masa paling lama kira-kira seminggu untuk menyiapkan sebilah sarung keris terutama bagi tempahan yang mempunyai reka bentuk rumit dan memerlukan kemasan terperinci.

Menurutnya, harga sarung keris yang dihasilkannya bermula sekitar RM150 dan boleh mencecah RM3,000 sebilah bergantung kepada jenis kayu, reka bentuk, ukiran dan tahap kerumitan kerja.

“Kalau sarung yang ringkas, mungkin tidak mengambil masa terlalu lama tetapi bagi reka bentuk yang rumit, saya perlu lebih berhati-hati kerana kesilapan kecil boleh menjejaskan keseluruhan hasil. Jadi, tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa. Setiap bahagian perlu diperiksa dan dikemaskan sebelum sarung itu disiapkan,” katanya.

BELAJAR SEJAK DI BANGKU SEKOLAH

Anak bongsu daripada 11 beradik itu berkata, minat terhadap seni pembuatan sarung keris mula berputik ketika masih di bangku sekolah sebelum dia mengambil keputusan mendalami kemahiran tersebut secara lebih serius.

Katanya, dia kemudian berguru dengan tukang sarung keris berpengalaman di sini selama beberapa tahun bagi mempelajari asas termasuk mengenali jenis kayu, membentuk sarung, membuat ukiran serta menghasilkan kemasan yang sesuai.

“Pada mulanya saya hanya berminat dan melihat orang membuat sarung keris. Lama-kelamaan saya cuba belajar dan mendalami kemahiran ini. Selepas beberapa tahun belajar, Alhamdulillah saya mula menguasai kemahiran membuat sarung keris dengan baik dan selepas kira-kira tiga tahun mendalami kemahiran, saya mula menerima serta menjual hasil tangan sendiri,” katanya.

Abdul Syukur berkata, pengalaman sepanjang lapan tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan turut membolehkan hasil tangannya mendapat kepercayaan pelanggan dari pelbagai negeri.

Malah, katanya, dia pernah menerima tempahan daripada Istana Sultan Selangor selain menghasilkan sarung keris untuk dijadikan cenderamata kepada orang kenamaan.

“Tempahan seperti ini memberi kepuasan kepada saya kerana hasil kerja yang dibuat dengan tangan sendiri mendapat kepercayaan pelanggan. Pada masa sama, ia menjadi satu tanggungjawab kerana saya perlu memastikan hasil yang diberikan benar-benar berkualiti dan menepati tempahan,” katanya.

MASIH KEKAL CARA TRADISIONAL

Menurutnya, walaupun teknologi semakin berkembang, dia masih mengekalkan kaedah tradisional dalam menghasilkan sarung keris dengan menggunakan peralatan seperti pahat dan kikir.

Katanya, kaedah secara manual itu memerlukan lebih banyak masa dan tenaga, namun hasil ukiran menjadi lebih kemas selain membolehkan setiap perincian dibuat dengan teliti.

“Tiada jalan pintas untuk menghasilkan sarung keris. Kaedahnya perlu dibuat secara manual supaya hasilnya lebih kemas.

“Setiap ketukan pahat perlu dikawal kerana kita bekerja dengan kayu. Kalau tersalah, kayu boleh rosak dan kerja perlu dibuat semula,” katanya.

Beliau berkata, antara cabaran utama dalam bidang berkenaan ialah memastikan kualiti hasil sentiasa berada pada tahap terbaik, selain mendapatkan kayu yang sesuai untuk setiap tempahan.

Katanya, semakin rumit reka bentuk yang diminta pelanggan, semakin tinggi tahap ketelitian diperlukan dan keadaan itu secara tidak langsung menjadikan setiap sarung keris mempunyai keunikan tersendiri.

MEDIA SOSIAL BANTU PASARKAN HASIL

Sementara itu, Abdul Syukur berkata, perkembangan teknologi dan penggunaan media sosial banyak membantu pengusaha seni tradisional seperti dirinya memperkenal hasil tangan kepada pelanggan di seluruh negara.

Katanya, jika dahulu penghasilan sarung keris lebih bergantung kepada pelanggan yang datang secara bersemuka atau melalui kenalan, kini media sosial membolehkan hasil kerjanya dilihat oleh lebih ramai individu.

“Ramai pelanggan dari seluruh Malaysia menghubungi saya melalui platform media sosial dan membuat tempahan selepas melihat hasil kerja yang saya kongsikan. Ini memudahkan saya untuk memperkenal seni sarung keris kepada masyarakat yang mungkin sebelum ini tidak mengetahui siapa yang masih menghasilkan sarung keris secara tradisional,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, seni pembuatan sarung keris berdepan cabaran apabila semakin kurang generasi muda berminat untuk menceburi bidang tersebut.

Menurutnya, kerja berkenaan menuntut kesabaran, ketekunan dan ketelitian yang tinggi selain memerlukan seseorang benar-benar berminat untuk belajar.

“Kerja ini bukan boleh belajar sehari dua terus mahir. Ia memerlukan masa, latihan dan kesabaran. Saya berharap lebih ramai anak muda berminat untuk belajar kerana kalau tidak ada generasi baharu yang meneruskan kemahiran ini, dikhuatiri seni pembuatan sarung keris secara tradisional akan semakin dilupakan,” katanya.

Abdul Syukur berkata, dia mahu terus menghasilkan sarung keris menggunakan kaedah tradisional selagi mendapat permintaan, selain berkongsi ilmu dan kemahiran yang dimiliki dengan generasi muda yang berminat.

Katanya, sarung keris bukan sekadar pelengkap kepada sebilah keris tetapi turut membawa nilai seni, budaya dan warisan masyarakat Melayu yang perlu dipelihara untuk generasi akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN