KUALA LUMPUR: Seorang pelajar universiti swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas memandu kereta bawah pengaruh alkohol sehingga merempuh palang keselamatan di Pintu 2, Istana Negara, awal pagi tadi.
Tertuduh, M. Kajen, 22, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang memandu kereta jenis Toyota Vios dengan kandungan alkohol dalam badan ialah 166 milligram (mg) per 100 mililiter darah iaitu melebihi had dibenarkan.
Perbuatan itu dilakukan di Pintu 2, Istana Negara, Jalan Changkat Semantan di sini, kira-kira pukul 3.50 pagi tadi.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun serta hilang kelayakan lesen sehingga lima tahun.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa, Inspektor Shazwan Hasifi Shahrun mencadangkan jaminan RM10,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, peguam bela, Sharon yang mewakili tertuduh merayu jumlah jaminan yang rendah memandangkan anak guamnya masih menyambung pengajian dalam peringkat ijazah.
“Anak guam saya merupakan anak tunggal dan bukan berasal daripada keluarga berpendapatan tinggi. Jadi, saya merayu tertuduh dikenakan jumlah jaminan paling minimum kerana dia juga memberikan kerjasama yang baik kepada pihak polis serta tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 26 Februari depan sebagai tarikh serahan dokumen.
Awal pagi tadi, polis menahan seorang pemandu mabuk dari arah Bukit Damansara kerana merempuh palang keselamatan di Pintu 2, Istana Negara.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan akibat kemalangan tersebut dan hanya melibatkan kerosakan pada bahagian depan kereta dan palang keselamatan di pintu istana itu. – UTUSAN










