ALOR SETAR: Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah seberat 75 kilogram (kg) pada Disember lalu.
Tertuduh, Mohammad Saslizam Shaaree, 49, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Syifa Mohd. Hamzah, namun tiada pengakuan direkodkan.
Tertuduh didakwa telah mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 75,000 gram di lorong RFID Tol Hutan Kampung di sini, pada pukul 5.20 pagi, 22 Disember lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama di mana boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang daripada 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Huda Diyanah Amir Hamzah manakala tertuduh diwakili peguam Saidina Khatijah Zaharah Khairulnisak Mohd. Noor daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.
Pada 23 Disember lalu, akhbar ini melaporkan, tindakan nekad seorang mekanik mengangkut dadah dipercayai jenis syabu seberat 75kg, bernilai RM2.4 juta semata-mata kerana upah RM15,000 menjerat diri apabila dia ditahan polis.
Suspek ditahan dalam operasi di Tol Hutan Kampung, di sini bersama dadah yang disembunyikan dalam bungkusan minuman teh di belakang kenderaan pacuan empat roda. – UTUSAN










