Tiga warga China didakwa edar syabu 26 kg

Tiga warga China didakwa edar syabu 26 kg

TIGA lelaki warga China diiringi oleh dua anggota polis (kiri dan kanan) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret George Town, Pulau Pinang atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine pada 20 Disember lalu. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Tiga lelaki warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah seberat lebih 26 kilogram (kg) pada 20 Disember lalu.

Ketiga-tiga tertuduh iaitu Xie Zhouji, 38; Zhang Mea, 32; dan Chen Cheng, 36, mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi dalam bahasa Mandarin. Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mereka didakwa telah mengedar dadah berbahaya iaitu methamphetamine seberat 26.025 kg di sebuah apartment di Jalan Gurdwara, Kompleks Adorna Gold, di sini, kira-kira pukul 10 malam pada 20 Disember lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39(B)(2) akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan di mana mereka boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup selain dikenakan tidak kurang daripada 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin dan menetapkan 25 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.

Memetik laporan media baru-baru ini, semua suspek ditahan dalam satu serbuan dadah di sebuah kondominium kerana dipercayai berperanan sebagai ahli kimia untuk memproses dadah untuk satu sindiket.

Susulan penahanan itu juga, polis berjaya membongkar kewujudan sebuah makmal haram yang dipercayai digunakan untuk memproses syabu di sebuah rumah kosong di kebun durian di Teluk Bahang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN