Permohonan semakan Zuraida bayar ganti rugi RM10 juta, didengar 11 Disember

Permohonan semakan Zuraida bayar ganti rugi RM10 juta, didengar 11 Disember

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan semakan oleh bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin atas keputusan mahkamah yang memberi kebenaran kepada parti itu untuk merayu berhubung ganti rugi kerana melanggar syarat bon akan didengar pada 11 Disember ini.

Peguam Navpreet Singh yang mewakili PKR mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media selepas pengurusan kes.

Menurut permohonan yang difailkan sekitar Oktober lalu, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia itu antara lain memohon Mahkamah untuk menyemak dan membatalkan kebenaran merayu berkenaan.

Untuk kes sivil, mana-mana pihak yang ingin merayu ke Mahkamah Persekutuan perlu mendapatkan kebenaran untuk berbuat demikian terlebih dahulu.

Pada 25 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada PKR untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah ganti rugi daripada RM10 juta kepada RM100,000 selepas didapati melanggar syarat bon parti itu.

Rayuan PKR terhadap jumlah ganti rugi itu telah ditetapkan untuk pendengaran pada 13 Februari 2026.

Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir memerintahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta selepas memutuskan bahawa bon itu kontrak yang sah dan mengikat.

Pada 2020, Setiausaha Agung PKR ketika itu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi pihak parti yang memulakan saman itu mendakwa Zuraida melanggar syarat bon yang ditandatanganinya.

PKR mendakwa Zuraida telah menandatangani suatu bon pada 25 April 2018, yang mengikat dirinya untuk membayar parti sejumlah RM10 juta, berdasarkan terma dan syarat bon tersebut.

Jumlah tersebut adalah nilai pampasan yang perlu dibayar oleh mereka yang bertindak keluar parti atas penggunaan nama, logo dan benda serta perkhidmatan dan sokongan yang diberikan oleh PKR sewaktu bertanding.

Bagaimanapun, pada 24 Februari 2020, Zuraida yang dinamakan sebagai defendan tunggal bersama 10 Ahli Parlimen PKR lain telah mengumumkan peletakan jawatan dari parti itu tanpa meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen bahagian Ampang dan kemudian membentuk blok baharu dikenali sebagai Perikatan Nasional (PN) dengan parti-parti pembangkang BN, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan yang lain.

Sehubungan itu, plaintif mendakwa defendan telah melanggar bon yang telah ditandatangani dan berdasarkan peruntukan Seksyen 71 Akta Kontrak 1950, PKR mempunyai hak untuk mendapatkan kesemua faedah yang dinikmati atau akan dinikmati oleh Zuraida setelah menjadi Ahli Parlimen Ampang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN