Mahkamah Syariah denda Abuya RM1,950 

Mahkamah Syariah denda Abuya RM1,950 

ABUYA (dua kiri) semasa menghadiri perbicaraan di Mahkamah Syariah Tumpat, Kelantan. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Seorang mudir madrasah dikenali sebagai Abuya didenda RM1,950 oleh Mahkamah Syariah di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu mengajar tanpa kebenaran dan mengola atau menyelia guru agama tanpa kebenaran.

Mohamad Aswadi Yah, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Dr. Wan Azmin Wan Adnan.

Mengikut pertuduhan, Abuya yang merupakan pengusaha dan mudir Madrasah Ahbabul Mustafa Al Islamiah, Kubang Batang didakwa dua pertuduhan iaitu menyampaikan sesuatu perkara berkaitan agama tanpa kebenaran daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dan pondok berkenaan beroperasi tanpa permit.

Abuya didakwa mengikut Seksyen Seksyen 117 Enakmen Maik Bilangan 4 Tahun 1994 iaitu mengajar tanpa kebenaran serta  Seksyen 118 Enakmen Maik Bilangan 4 Tahun 1994 iaitu mengola atau menyelia  guru agama tanpa kebenaran.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Syarie manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Utusan Malaysia pada 24 September lalu melaporkan, Abuya me­ngaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas enam lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun.

Terdahulu, pada 19 September pula, Abuya me­ngaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar tahfiz lelaki berusia 14 tahun.

Sebelum itu, pada 11 September lalu, seorang mudir di sebuah pondok di Tumpat, dekat sini didakwa di Mahkamah Seksyen di sini, hari ini atas tujuh pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap pelajar lelaki dan memiliki gambar lucah pada Jun 2024 hingga 20 Ogos lalu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×