Zamil, dua rakan didakwa minta rasuah daripada pendakwah bebas

Zamil, dua rakan didakwa minta rasuah daripada pendakwah bebas

ZAMIL Ibrahim diiringi pegawai SPRM selepas berhadapan dua pertuduhan berkaitan rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, Kedah hari ini. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Aktivis masyarakat, Zamil Ibrahim bersama dua rakannya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap dua pertuduhan rasuah pada November tahun lalu.

Zamil, 58, yang juga bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), bersama Jamal Muhaideen Mohmad Hussin, 41, dan Muhammad Redza Adzmi, 34, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim N. Priscilla Hemamalini.

Bagi pertuduhan pertama, mereka secara bersama telah secara rasuah meminta daripada pendakwah bebas, Ahmad Husam Muhamad Baderudin suapan wang berjumlah RM400,000 sebagai dorongan kononnya untuk membantu menyelesaikan siasatan polis membabitkan kes pengubahan wang haram terhadap Yayasan Ar-Riyadah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh mereka di lobi sebuah hotel di Sungai Petani, kira-kira pukul 9 malam, 4 November 2024.

Dalam pertuduhan kedua, mereka bertiga telah secara rasuah bersetuju untuk menerima daripada Ahmad Husam suapan RM20,000 sebagai dorongan yang sama pada pukul 12.30 tengah hari di pekarangan sebuah masjid di Bedong pada 5 November tahun lalu.

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Mereka berhadapan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Fariz Abdul Hamid manakala Zamil dan Jamal Muhaideen diwakili peguam Aiman Abdul Rahman sementara Datuk S. Ganesan mewakili Muhammad Redza.

Pihak pendakwaan memohon jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh untuk kedua-dua pertuduhan berkenaan namun Hakim Priscilla Hemamalini membenarkan RM15,000 setiap seorang.

Mahkamah menetapkan tarikh 26 November depan untuk sebutan semula kes. Ketiga-tiga tertuduh membayar jaminan berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN