Projek MEX II: Empat individu termasuk Datuk didenda

Projek MEX II: Empat individu termasuk Datuk didenda

CHAN Chee Keong (kanan) bersama Ang Teck Ann (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi menghadapi pertuduhan menerima rasuah berhubung projek cadangan pembinaan Lebuh Raya MEX II.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat individu termasuk seorang ahli perniagaan bergelar Datuk masing-masing didenda RM100,000 oleh dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah pertuduhan menerima dan memberi rasuah berhubung cadangan projek pembinaan Lebuh Raya MEX II.

Di hadapan Hakim Rosli Ahmad, ahli perniagaan Datuk Lim Kim Hai, 50, didakwa menerima suapan berjumlah RM3.5 juta daripada bekas pengarah syarikat pembinaan, Datuk Yap Wee Leong, di sebuah syarikat perundingan, KH Lim Corporate Consultancy Sdn. Bhd., antara Jun 2017 hingga Jun 2018.

Suapan itu diberikan sebagai upah kerana membolehkan tiga syarikat iaitu Villas Hub Sdn. Bhd., Jade Centennial Sdn. Bhd. dan Bidang Bakat Sdn. Bhd. dilantik sebagai subkontraktor kepada Golden Base Construction Sdn. Bhd. dalam projek pembinaan lebuh raya berkenaan.

Turut mengaku bersalah, seorang pengusaha kebun, Ang Teck Ann, 52, yang didakwa menerima suapan berjumlah RM500,000 daripada Kim Hai sebagai upah menjadi perantara di antara ahli perniagaan itu dengan seorang lagi tertuduh, Lee Keng Long, bagi tujuan sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Esther Jacyntha Monyarpram dan Nurul Izzati Sapifee. Kim Hai diwakili peguam bela, Datuk Seri James Chow manakala Teck Ann diwakili peguam bela, Ramalingam Karuppiah.

Sementara itu, di hadapan Hakim Suzana Hussin, dua lagi tertuduh iaitu seorang pekerja stor, Lee Keng Long, 37, dan seorang perunding bebas, Chan Chee Keong, 67, mengaku bersalah atas pertuduhan menerima suapan masing-masing berjumlah RM500,000 dan RM1.4 juta daripada Kim Hai.

Keng Long didakwa menerima wang itu sebagai upah meminjamkan nama tiga syarikat miliknya iaitu Villas Hub, Jade Centennial dan Bidang Bakat untuk dijadikan subkontraktor manakala Chee Keong menerima suapan itu sebagai pah menjadi orang tengah dalam urusan berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry, Hazel Tan Jia Qi dan Nidzuan Abdul Latif manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam bela, Ramalingam Karuppiah.

Bagi kesalahan menerima rasuah, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda tidak kurang RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, atau kedua-dua sekali.

Kesemua tertuduh juga mengaku bersalah atas tuduhan gagal melaporkan pemberian atau penerimaan suapan itu kepada pihak berkuasa.

Bagi dakwaan ini, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama, iaitu penjara sehingga 10 tahun, denda maksimum RM100,000, atau kedua-dua sekali.

Hakim Suzana menjatuhkan hukuman denda RM100,000 setiap seorang terhadap Chee Keong dan Keng Long, dengan penjara 10 bulan sekiranya gagal membayar.

Sementara itu, Hakim Rosli menjatuhkan hukuman denda RM100,000 setiap seorang terhadap Kim Hai dan Teck Ann dengan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mahkamah turut membenarkan permohonan pendakwaan untuk melucuthakkan wang yang disita daripada semua tertuduh kepada Kerajaan Malaysia melalui Ketua Pesuruhjaya SPRM. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN