Seorang lagi bekas pengarah MEX didakwa

Seorang lagi bekas pengarah MEX didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas pengarah sebuah syarikat pembinaan lebuh raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini bagi 17 pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan bayaran kemajuan (progress claim) projek lebuh raya bernilai lebih RM300 juta, lapan tahun lalu.

Datuk Yap Wee Leong, 68, yang merupakan bekas Pengarah Mex II Sdn Bhd dan pemegang konsesi Lebuh Raya Mex II membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut semua pertuduhan, Wee Leong didakwa telah menggunakan sebagai tulen 17 dokumen tuntutan bayaran kemajuan dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM314.48 juta.

Dokumen-dokumen itu melibatkan kerja-kerja pembersihan tapak, kerja sementara, kerja tanah, kerja geoteknikal, kerja perparitan dan kerja turapan (Subgred) (CH23,000 – CH35,770).

Ia adalah berkaitan cadangan projek pembinaan Lebuh Raya Putrajaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (MEX II) bermula dari persimpangan Putrajaya dan berakhir di KLIA bagi pihak Maju Holdings Sdn Bhd.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara Jun 2017 dan April 2018 di Maju Holdings Sdn. Bhd., Aras 21, Maju Tower, 1001, Jalan Sultan Ismail di sini.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 465 akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib menawarkan jaminan sebanyak RM1 juta bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin warganegara tempatan.

“Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.

Peguam bela, Abdul Hakeem Aiman yang mewakili tertuduh bersetuju dengan jumlah jaminan yang ditawarkan kerana ia dilihat adil untuk anak guamnya.

“Berbeza daripada kebiasaan, selalunya saya akan membantah atau meminta pengurangan. Walau bagaimanapun, pihak pembelaan bersetuju dengan amaun tersebut atas alasan ia bersifat adil dan cukup untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah,” katanya.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM1 juta dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 3 November ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN