PENYELEWENGAN berkaitan Projek Lebuhraya Maju Expressway II (MEX II) mendedahkan secara jelas bagaimana sikap rakus, rasuah dan pengkhianatan amanah telah menggagalkan hasrat kerajaan untuk menyediakan kemudahan serta fasiliti yang sepatutnya dinikmati rakyat.
Kes ini bukan sekadar membabitkan penyelewengan dana berskala besar, tetapi menjadi lambang kegagalan tadbir urus yang menyebabkan negara kehilangan hampir satu dekad pembangunan akibat perbuatan segelintir pihak yang mengutamakan kepentingan peribadi.
Projek ini bermula pada 2015 apabila konsesi dianugerahkan dan pembiayaan disediakan melalui penerbitan sukuk bernilai RM1.3 bilion.
Pada ketika itu, pembiayaan berkenaan dilihat sebagai instrumen penting bagi memastikan pelaksanaan projek infrastruktur strategik yang mampu memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat.
Hasrat kerajaan adalah jelas, iaitu mempercepat pembangunan, meningkatkan kecekapan pergerakan serta menyokong pertumbuhan ekonomi secara menyeluruh.
Namun antara 2016 hingga 2019, dana sukuk berjumlah RM1.3 bilion yang dilepaskan didakwa disalahgunakan melalui tuntutan palsu dan pemindahan dana yang mencurigakan.
Dalam tempoh ini, wang awam yang sepatutnya digunakan untuk pembinaan dan pelaksanaan projek telah diseleweng, sekali gus menjejaskan kemajuan fizikal projek berkenaan.
Akibat penyelewengan tersebut, projek gagal disiapkan walaupun pembiayaan telah disalurkan sepenuhnya.
Selepas 2019, projek terbabit terus terbengkalai, menafikan rakyat daripada kemudahan yang dijanjikan sejak awal.
Kegagalan ini bukan sahaja memberi kesan kepada kelancaran pembangunan, malah menimbulkan persoalan besar mengenai tahap pemantauan dan akauntabiliti dalam pengurusan dana awam.
Siasatan rasmi hanya dimulakan pada 2025, menandakan hampir satu dekad berlalu sejak dana awam mula diseleweng.
Kerugian ditanggung negara

Tempoh masa yang panjang ini menggambarkan besarnya kerugian yang ditanggung negara, bukan sahaja dari sudut kewangan, tetapi juga dari segi kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran dan keupayaan institusi untuk melindungi kepentingan awam.
Berdasarkan maklumat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Utusan Malaysia, hasil siasatan telah membawa kepada rampasan aset tidak alih dan alih bernilai kira-kira RM156 juta.
Aset yang dirampas termasuk hartanah dan kondominium mewah, kenderaan, barangan kemas serta wang tunai.
Rampasan ini membuktikan bahawa dana yang sepatutnya dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat telah ditukar menjadi kemewahan peribadi, sekali gus menafikan hak masyarakat terhadap kemudahan asas yang dijanjikan.
Lebih membimbangkan, sebahagian aset bernilai melebihi RM15 juta dikesan di luar negara melalui kerjasama antarabangsa.
Perkara ini menunjukkan bahawa rasuah kini bersifat rentas sempadan dan terancang, menjadikan usaha pengesanan serta pemulihan aset lebih kompleks dan memerlukan komitmen berterusan pihak berkuasa.
SPRM terus mengambil tindakan apabila tiga individu telah dibicarakan atas kesalahan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan pemalsuan dokumen, dengan nilai pertuduhan kira-kira RM1.585 bilion setakat ini.
Empat individu lagi mengaku bersalah di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 kerana gagal melaporkan rasuah dan masing-masing dikenakan denda RM100,000.
Selain itu, 135 orang saksi telah dirakam keterangan bagi kesemua fail siasatan yang dibuka.
Sekali gus, wang berjumlah RM3,452,986.63 telah dilucutkan hak di bawah Seksyen 40 Akta SPRM 2009.
Dalam konteks ini, syabas harus diberikan kepada SPRM atas usaha berterusan mereka dalam menyiasat dan menjejaki aset serta memastikan tindakan undang-undang diambil.
Kejayaan SPRM bukan sahaja membuktikan kemampuan institusi penguatkuasaan negara menegakkan integriti, malah menjadi pengajaran penting bahawa penyelewengan dana awam tidak akan dibiarkan begitu sahaja.
Walaupun tindakan penguatkuasaan sedang dilaksanakan, persoalan utama yang terus membelenggu rakyat ialah harga sebenar yang telah dibayar akibat kelewatan ini.
Infrastruktur yang sepatutnya dinikmati sejak bertahun-tahun lalu masih belum direalisasikan, manakala kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan untuk membaiki kegagalan terdahulu, menyusun semula perancangan dan memulihkan keyakinan awam.
Peringatan tegas
Kes ini wajar dijadikan peringatan tegas bahawa rasuah bukan sekadar kesalahan undang-undang, tetapi pengkhianatan terhadap mandat rakyat.
Setiap ringgit yang diselewengkan bukan sahaja menjejaskan kewangan negara, malah melambatkan pelaksanaan dasar dan polisi yang dirangka untuk kesejahteraan rakyat.
Akhirnya, rakyat menjadi mangsa dan kehilangan wang awam dan kehilangan peluang menikmati kemudahan yang dijanjikan.
Justeru, kes ini harus dijadikan iktibar bahawa integriti, ketelusan dan pemantauan berterusan dalam pengurusan dana awam bukan pilihan, tetapi keperluan mutlak.
Selagi sikap rakus dan budaya rasuah dibiarkan berakar, selagi itulah hasrat pembangunan negara akan terus tergadai, dan rakyat akan terus menunggu janji yang tertangguh.
Dalam pada itu, kerajaan juga telah mengambil langkah proaktif bagi menangani kelewatan berpanjangan projek sambungan MEX II ini.
Projek lebuh raya sepanjang 18 kilometer ini, yang dijadual siap pada Disember 2019 telah terjejas akibat masalah kewangan menyebabkan kerja pembinaan terhenti.
Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexandar Nanta Linggi menegaskan usaha sedang digiatkan untuk menghidupkan semula projek terbengkalai ini.
Beliau juga sebelum ini memaklumkan, pemaju projek juga sedang mempercepat usaha mendapatkan sumber pembiayaan baharu bagi meneruskan semula kerja pembinaan.
Langkah kerajaan ini menunjukkan komitmen tinggi bagi memastikan projek infrastruktur penting yang memberi manfaat langsung kepada rakyat tidak tergendala lebih lama, meskipun masalah rasuah telah menjejaskan perjalanan awalnya. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










