SHAH ALAM: Syarikat Paneagle Sdn. Bhd. (Paneagle) memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mencabar tuntutan RM564 juta yang dikemukakan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB).
Pemfailan itu dibuat apabila syarikat berkenaan mendakwa bank terbabit mengambil tindakan terhadap pihak yang salah dalam kes tersebut.
Paneagle mendakwa individu yang sebenarnya mengawal dan mendapat manfaat daripada pinjaman asal telah dilepaskan daripada sebarang liabiliti.
Pertikaian itu berpunca daripada pinjaman berjumlah RM400 juta yang diberikan BPMB kepada sebuah syarikat pada tahun 2012.
Paneagle dalam kenyataannya berkata, pinjaman berkenaan dikawal oleh Ranjeet Singh Sidhu dan Tan Sri Syed Yusof yang merupakan pemegang saham utama syarikat tersebut.
Dalam pernyataan tuntutannya, Paneagle turut menyebut pada tahun 2021, Ranjeet membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa wujud rasuah melibatkan bekas Pengarah Urusan BPMB.
Namun selepas siasatan penuh dijalankan, SPRM mengeluarkan surat ‘Tiada Tindakan Lanjut’ (NFA) kepada semua pihak termasuk, sekali gus membersihkan mereka daripada sebarang salah laku.
Walaupun dakwaan itu telah disangkal SPRM, BPMB didakwa tetap memfailkan saman pada tahun 2022 berdasarkan naratif yang sama.
Syarikat itu turut membangkitkan kemungkinan wujud konflik kepentingan dalam kes berkenaan, dengan mendakwa terdapat hubungan antara beberapa pihak termasuk ahli lembaga pengarah BPMB, rakan perniagaan rapat Ranjeet serta peguam luar bank berkenaan.
“Itu bukan keadilan, duit pembayar cukai digunakan untuk menuntut pihak yang tidak bersalah, sementara pelaku sebenar dilepaskan. Kami terpaksa menanggung perbicaraan bertahun-tahun, kewangan terjejas dan reputasi rosak, sedangkan pelaku sebenar bebas,” katanya dalam satu kenyataan.
Syarikat itu juga menggesa SPRM dan Kementerian Kewangan menyemak semula cara BPMB menguruskan kes tersebut. – UTUSAN










