SHAH ALAM: Seorang wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengemukakan nilai sebut harga palsu berjumlah RM24,200 berkaitan penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25), pada Mei lalu.
Turut dituduh adalah dua individu berpangkat pegawai kanan yang merupakan suami kepada wanita terbabit dan seorang anggota berpangkat koperal dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kerana disyaki bersubahat.
Tertuduh, Citra Angrini Alam Mappiase dan suaminya, Leftenan Kolonel Shahrul Nizam Shaf’in serta Koperal Mohamad Amir Bakri Che Abdul membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka secara berasingan.
Mengikut pertuduhan Citra Angrini, 36, yang kini hamil lima bulan didakwa memperdaya Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) Subang dengan mengemukakan sebut harga palsu bagi sebuah syarikat bernilai RM24,200 di dalam sistem e-Perolehan MPOU Subang.
Ia seterusnya dengan sengaja mendorong Ketua Staf MPOU itu meluluskan sebuah syarikat lain sebagai pembekal perolehan di LIMA’25.
Pasangan suami isteri itu melakukan kesalahan itu di Kota Damansara manakala Mohamad Amir, 32, di MPOU Subang pada 13 Mei lalu.
Kesemua tertuduh dibuat mengikut 417 Kanun Keseksaan, sementara dua pegawai dan anggota TUDM itu turut dituduh di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Alis Izzati Azurin Mohd. Rosdi mencadangkan jaminan bagi setiap tertuduh RM20,000 bersama seorang penjamin dan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Peguam Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah dan Tunku Muhammad Sulaiman Tunku Harmy memohon jaminan serendah RM5,000 bagi Citra Angrini dan Shahrul Nizam.
“Kedua-dua mereka pasangan suami isteri. Shahrul Nizam kini digantung tugas manakala Citra Angrini tidak bekerja serta hamil lima bulan. Mereka berdua mempunyai empat anak berusia 4 hingga 16 tahun,” katanya.
Mohamad Amir yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kepada RM3,000 dengan menanggung isteri dan seorang anak.
Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada Citra Angrini manakala berjumlah RM7,000 kepada Shahrul Nizam dan Mohamad Amir dengan masing-masing bersama seorang penjamin berserta syarat tambahan.
Mahkamah menetapkan 8 Disember depan untuk sebutan semula dan pengurusan kes.
Ogos lalu Utusan Malaysia melaporkan SPRM menahan 10 individu termasuk lima pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam Op Sohor berhubung sindiket penyeludupan yang beroperasi di Johor.
Turut ditahan adalah dua wartawan agensi media dalam talian, seorang pengurus syarikat dan pembantu pentadbiran di Malaysian Medical Association (MMA) serta warga asing. – UTUSAN










