PETALING JAYA: Nasib ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin yang didakwa mengabaikan anaknya itu dua tahun lalu akan diketahui esok.
Hakim Mahkamah Sesyen, Dr. Syahliza Warnoh akan memutuskan sama ada surirumah, Ismanira Abdul Manaf, 30, akan disabitkan dengan pertuduhan itu atau sebaliknya.
Sabit kesalahan, wanita itu boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-dua sekali.
Pada 21 Julai lalu, mahkamah memerintahkan Ismanira untuk membela diri manakala bapa kanak-kanak itu, Zaim Ikhwan Zahari dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan mengabaikan anak mereka dua tahun lalu.
Prosiding bela diri yang berjalan selama enam hari bermula pada hari sama mahkamah membuat keputusan untuk memanggil Ismanira membela diri dan berakhir pada 5 Ogos lalu selepas mahkamah mendengar keterangan saksi pembelaan kelima, Pakar Psikologi Kanak-Kanak Dr. Noor Aishah Rosli.
Perbicaraan di pihak pendakwaan yang memakan masa 20 hari bermula 4 Februari lalu memanggil seramai 28 saksi termasuk dua kanak-kanak untuk memberikan keterangan di mahkamah.
Mengikut pertuduhan pindaan, Ismanira yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zayn Rayyan didakwa mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal di sekitar kawasan Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai sehingga ke kawasan sungai berdekatan Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini, antara pukul 12 tengah hari, 5 Disember dan jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.
Pada tengah hari 5 Disember, Zayn Rayyan dilaporkan hilang sebeum ditemui meninggal dunia.
Mayat kanak-kanak autisme itu ditemukan berdekatan anak sungai kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartment Idaman, Damansara Damai pada malam 6 Disember 2023 selepas dilaporkan hilang pada tengah hari 5 Disember 2023.
Menurut keterangan Pakar Perunding Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pasir Gudang, Dr. Rohayu Shahar Adnan, punca kematian Zayn Rayyan adalah akibat dijerut dengan kuat berkemungkinan dengan menggunakan tali, lanyard atau kain yang dipintal.
Turut ditemukan pada tubuh kanak-kanak malang itu adalah lebih 20 kecederaan akibat objek tumpul dan tajam termasuk kesan luka koyakan di bahagian dubur akibat objek tumpul.
Antara kecederaan yang ditemukan pada tubuh Zayn Rayyan ialah lebam pada beberapa bahagian kepala seperti dahi, belakang kepala, rahang serta bahagian badan seperti bahu, belakang badan, dada dan abdomen.
Terdapat juga beberapa luka daripada benda tajam seperti luka potongan pada telinga, luka tikaman, luka hirisan di belakang telinga dan kepala serta kedua lengan.
Turut didedahkan penemuan benda asing pada rongga pernafasan belah kanan dan dalam perut Zayn Rayyan termasuk kesan lebam pada lelangit dipercayai kesan memasukkan benda asing secara paksa selain luka koyak di bahagian dubur akibat objek tumpul.
Kes dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz dan Nur Sabrina Zubairi manakala Ismanira diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Lavanesh Haresh. – UTUSAN










