Lelaki didakwa aniaya anak saudara

Lelaki didakwa aniaya anak saudara

MUHAMMAD Faiz Aresah dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor hari ini bagi didakwa atas pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai anak saudaranya sendiri bulan lalu.UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki didakwa menganiaya seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai anak saudaranya sendiri di Pontian, bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Faiz Aresah, 21, membuat pengakuan itu di Mahkamah Sesyen di sini selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh sebagai seorang yang mempunyai pemeliharaan terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun itu telah menganiayai kanak-kanak terbabit di sebuah rumah di Kampung Parit Jamal, Benut, Pontian, pada pukul 2.30 petang, 16 September lalu.

Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zuhainie Zull Kafli tidak mencadangkan sebarang jaminan diberi terhadap tertuduh memandangkan kesalahan itu adalah kesalahan tidak boleh dijamin.

Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), K. Bharathi yang mewakili tertuduh bagaimanapun meminta mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan tertuduh diikat jamin.

“Tertuduh bekerja di sebuah syarikat seni bina di Pontian dengan gaji RM1,000 sebulan. Tertuduh juga membantu ibu bapanya menanggung adik-beradik lain yang masih bersekolah. 

“Bapanya hanya bekerja kampung dengan menanam sayur, manakala ibunya pula bekerja kilang,” katanya.

Ahmad Kamal Arifin kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di Balai Polis Benut sebulan sekali.

Mahkamah turut menetapkan tarikh 6 November depan untuk sebutan semula kes bagi fakta dan hukuman selain menunggu laporan perubatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Mohammad Shofee Tayib mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berhubung kes berkenaan pada 26 September lalu.

Menurut beliau, guru sekolah kanak-kanak tersebut membuat laporan polis itu selepas mendapati terdapat kesan luka melecur yang teruk di lengan kanan mangsa.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa sedang bermain sehingga dikatakan membuat bunyi bising menyebabkan tertuduh berasa marah lalu menekap seterika ke lengannya.

“Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan dan telah ditahan wad untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi pemberita. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×