KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng untuk mendapatkan semula pasport antarabangsanya secara kekal yang sebelum ini ditahan oleh mahkamah.
Hakim Azura Alwi membuat keputusan itu selepas meneliti permohonan yang dikemukakan pihak pembelaan dan pendakwaan, namun mengekalkan syarat jaminan sedia ada.
“Mahkamah benarkan supaya pasport antarabangsa pemohon dikembalikan secara kekal. Bagaimanapun, pemohon masih perlu melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada minggu pertama setiap bulan sehingga kes selesai manakala jumlah jaminan RM1 juta dikekalkan,” katanya ketika prosiding.
Peguam Mohd. Haijan Omar yang mewakili Guan Eng memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya telah dilantik sebagai Pengerusi Kehormat Asean-China Association for the Promotion of Industrial Cooperation and Development (ACAPICD) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pelantikan itu merupakan satu perubahan keadaan (change of circumstances) yang signifikan kerana jawatan tersebut menuntut Guan Eng mewakili Kerajaan Malaysia menghadiri pelbagai mesyuarat, persidangan dan pameran antarabangsa.
“Sebagai salah seorang pengerusi kehormat, pemohon perlu kerap ke luar negara bagi menghadiri mesyuarat, konvensyen serta pameran antarabangsa.
“Permohonan ini bukan untuk tujuan bercuti, sebaliknya demi melaksanakan tanggungjawab rasmi mewakili Kerajaan Malaysia. Jika perlu membuat permohonan pasport berulang kali, ia akan menimbulkan rasa tidak wajar serta memalukan pemohon,” katanya.
Mohd. Haijan berkata, sejak kes dibicarakan pada 2020, anak guamnya telah mematuhi semua syarat jaminan dan hadir ke mahkamah setiap kali kes disebut tanpa sebarang pelanggaran.
Antara acara rasmi yang perlu dihadiri Guan Eng di China termasuk World Maritime Agreement Conference di Wuzhou pada Oktober ini dan Asian-China GBA Cooperation Shanghai Forum di Shenzhen pada November.
Mohd. Haijan berkata, peranan Guan Eng dalam organisasi tersebut memerlukan kehadiran fizikal secara berkala di luar negara bagi tujuan rasmi kerajaan, justeru menuntut pemulangan pasport secara kekal.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Julaila Jamaludin membantah permohonan itu atas alasan mahkamah perlu mengambil kira keseriusan pertuduhan rasuah yang sedang dibicarakan dan menegaskan bahawa prosedur memohon pasport sementara adalah amalan biasa bagi semua tertuduh dalam kes jenayah.
“Permohonan sementara tidak dianggap memalukan kerana ia prosedur standard yang dilalui oleh mana-mana individu berdepan pertuduhan jenayah,” katanya.
Prosiding bersambung dengan perbicaraan utama kes rasuah membabitkan projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang masih berjalan.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng yang ketika itu menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan berjumlah RM3.3 juta sebagai balasan membantu sebuah syarikat milik ahli perniagaan Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli bagi mendapatkan projek kerajaan negeri.
Suapan tersebut dipercayai berkaitan pelantikan syarikat berkenaan bagi melaksanakan Projek Pembinaan Jalan Utama dan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang bernilai RM6.34 bilion, antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Komtar, George Town.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng turut didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah kerana membantu syarikat itu dilantik untuk projek sama.
Perbuatan berkenaan didakwa dilakukan berhampiran sebuah hotel di Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara pukul 12.30 tengah malam hingga 2 pagi pada Mac 2011.
Tertuduh turut berdepan dua pertuduhan tambahan melibatkan tindakan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai keseluruhan RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju yang ada kaitan dengan projek terowong dasar laut tersebut.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar masing-masing pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – UTUSAN










